PRN: UMNO Johor bantu kempen di Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu

PRN: UMNO Johor bantu kempen di Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu

JOHOR BAHRU,. UMNO Johor akan menggerakkan jenteranya ke Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu bagi membantu kempen pilihan raya negeri (PRN) di ketiga-tiga negeri tersebut yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu bukan sahaja bagi membalas bantuan UMNO negeri lain yang membantu UMNO Johor ketika PRN pada Mac tahun lepas, sebaliknya sebagai perjuangan bersama bagi mengangkat kejayaan parti pada pilihan raya itu.

“Kita sudah berbincang mengenai peranan yang ditugaskan dan dipertanggungjawabkan kepada setiap bahagian untuk PRN di enam negeri. UMNO Johor terlibat di 11 bahagian Parlimen di Selangor yang dalamnya ada beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN), juga dihantar ke enam kawasan di Negeri Sembilan dan tiga kawasan di Terengganu.

“Ia bukan sahaja kerana PRN Johor tempoh hari, negeri lain datang membantu, tetapi kita juga rasakan bahawa ini adalah satu perjuangan bersama yang kita angkat untuk jayakan parti kita dalam PRN yang akan berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Johor di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi UMNO Johor Datuk Seri Ahmad Maslan.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata semua jentera UMNO Johor yang digerakkan ke negeri berdepan PRN itu turut akan membantu rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

Berhubung pembahagian kerusi pada PRN kepada Barisan Nasional (BN), Naib Presiden UMNO itu berkata perkara tersebut adalah berasaskan formula yang dipersetujui semua kepimpinan parti dan segala perinciannya akan dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon.

Semalam, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata BN dijangka bertanding 45 peratus daripada 245 kerusi DUN di enam negeri yang akan mengadakan PRN, manakala selebihnya akan ditandingi oleh Pakatan Harapan.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata parti yang berasaskan kaum seperti UMNO tidak patut ditolak memandangkan dalam kerajaan, ia lebih kepada kerjasama semua kaum.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )