
Program Haji Kids Diterima Meriah di Melaka, Dicalon Sebagai Acara Tahunan
MELAKA, 18 Mei – Lebih 1,500 kanak-kanak menyertai Program Haji Kids 2025 yang berlangsung di Stadium Tun Fatimah, menandakan sambutan yang cukup menggalakkan terhadap inisiatif pendidikan Islam secara praktikal untuk anak-anak kecil.
Program simulasi ibadah haji itu turut mendapat pengiktirafan daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang menyifatkannya sebagai contoh pendidikan progresif dan berimpak tinggi untuk pembentukan sahsiah generasi muda.
“Inisiatif ini mendidik dan pada masa sama memperkukuh hubungan antara keluarga, guru dan komuniti melalui pendekatan interaktif yang menyeluruh,” ujarnya.
Program anjuran bersama Warnakala Studios, JAPERUN Duyong, dan pelbagai agensi kerajaan negeri itu dijangka dijadikan acara tahunan tetap, sejajar dengan status Melaka sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Dunia 2025.