Program Jualan Keluarga Malaysia rekod jualan lebih RM29.38 juta

Program Jualan Keluarga Malaysia rekod jualan lebih RM29.38 juta

JOHOR BAHRU,. Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang dijalankan di 953 lokasi dalam 220 Parlimen seluruh negara sejak Disember lepas telah merekodkan jumlah jualan melebihi RM29.38 juta dan kehadiran seramai 1.5 juta pengunjung, setakat Ahad lepas.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor dalam kenyataan memaklumkan angka itu meliputi RM3.1 juta hasil jualan yang direkodkan di negeri ini melalui kehadiran lebih 150,000 pengunjung di 127 lokasi dalam kesemua 26 kawasan Parlimen.

Menurut KPDNHEP Johor, PJKM mendapat sambutan menggalakkan kerana menawarkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga 10 hingga 20 peratus lebih murah daripada pasaran setempat.

Antaranya ayam yang dijual pada harga RM7.95 sekilogram berbanding harga asal RM8.78 sekilogram, ikan siakap (RM10 seekor berbanding RM16) dan cili merah (RM18.90 sekilogram berbanding RM26.90).

“Daripada maklum balas yang diterima, rata-rata pengunjung menyambut baik dan meminta PJKM dilaksanakan secara berkala serta mengakui bahawa harga yang ditawarkan dapat meringankan bebanan kos untuk pembelian barangan keperluan harian dalam situasi sekarang,” menurut kenyataan berkenaan.

Justeru, KPDNHEP berharap PJKM yang sedang berlangsung di Dataran Angsana di sini hingga Sabtu ini akan terus dimanfaatkan orang ramai bagi membeli barangan keperluan mereka.

Program yang dilaksana dengan kerjasama pelbagai agensi dan kementerian bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) itu turut diadakan serentak di kawasan Parlimen lain seluruh Johor.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)