Program khas akan diwujud jadikan penjaga OKU sebagai kerjaya

Program khas akan diwujud jadikan penjaga OKU sebagai kerjaya

HULU SELANGOR,. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bercadang mewujudkan program khas bagi memberi latihan khusus kepada penjaga golongan berkeperluan khas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata program yang dijangka bermula tahun depan itu akan membolehkan penjaga terbabit menjadikan tugas itu sebagai kerjaya dan bukan lagi sekadar sukarela.

“Negara kita bukan sekadar menuju ke status negara menua tetapi akan turut mempunyai golongan dengan keupayaan berbeza dan ada juga dalam kalangan mereka yang perlukan penjagaan sejak dari kecil.

“Jadi orang menjaga golongan ini perlulah dilatih dan yang sudah mulakan ini (latihan) adalah sektor swasta manakala kerajaan lebih kepada mereka yang sukarela…jadi kita perlu naikkan taraf mereka (penjaga) dengan memberikan ilmu dan kemahiran tepat untuk menjaga mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Jalinan Kasih Beiersdorf Bersama Rumah Ehsan dan Taman Sinar Harapan Kuala Kubu Bahru di sini hari ini.

Nancy berkata memandangkan perkara itu memerlukan peruntukan kewangan maka program khas tersebut akan dibincangkan bersama Menteri Kewangan dan Menteri Ekonomi sebelum dibawa ke Kabinet.

“Kita baru mulakan perbincangan sebab ini perlukan peruntukan kewangan dan perancangan terperinci tetapi ini adalah salah satu kerjaya perlu diketengahkan,” katanya.

Beliau berkata institusi sosial yang ada dalam negara akan menjadi agensi utama bagi membantu kementerian memberikan kursus dan latihan tersebut.

“Tetapi setakat ini ramai pihak yang datang kepada kita termasuk pihak universiti yang menawarkan kemahiran mereka dan tempat untuk latihan,” katanya.

Mengenai program hari ini, Syarikat Beiersdorf (M) bersama Yayasan Budi Penyayang menyantuni penghuni Rumah Ehsan Kuala Kubu Bahru (REKKB) dan Taman Sinar Harapan Kuala Kubu Bahru (TSHKKB) menerusi Program Jalinan Kasih Bersama Beiersdorf.

REKKB menerima lima alat pemanas air, lima televisyen dan 109 beg cenderahati syarikat manakala TSHKKB menerima sumbangan sebanyak 200 tin susu, 200 set cadar dan 184 beg cenderamata syarikat.

Selain itu, TSHKKB menerima sumbangan 200 biji bantal daripada Syarikat Chester London dan sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengurus Serantau Beiersdorf Malaysia dan Singapura Ng Hock Guan kepada Nancy.

REKKB merupakan institusi yang memberi penjagaan, rawatan dan perlindungan kepada warga emas yang uzur, daif dan tidak mempunyai waris serta memerlukan penjagaan jangka panjang dalam persekitaran selesa dan selamat.

TSHKKB pula memberi penjagaan, perlindungan, pemulihan dan latihan kepada OKU kategori pembelajaran mengikut kemampuan dan kebolehan masing-masing dan diwartakan sebagai Tempat Selamat untuk perlindungan khususnya kepada kanak-kanak OKU kategori pembelajaran di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )