Program MakerSpace disyorkan untuk dilaksanakan di setiap negeri

Program MakerSpace disyorkan untuk dilaksanakan di setiap negeri

BALIK PULAU,. Setiap kerajaan negeri disaran untuk melaksanakan program MakerSpace di negeri masing-masing bagi memberi peluang kepada murid dan pelajar meneroka ilmu sains dan teknologi secara lebih mendalam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo yang menyarankan perkara itu berkata kerajaan negeri lain boleh mencontohi langkah yang dibuat oleh kerajaan Pulau Pinang menerusi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang menggunakan ruang sedia ada dengan menyediakan infrastruktur untuk kemudahan murid dan pelajar di negeri itu menerokai ilmu sains dan teknologi.

“Saya harap setiap kerajaan negeri akan mengambil langkah untuk memberi sokongan kepada program sebegini (MakerSpace) seperti mana yang ditekankan oleh Datuk Bandar MBPP Datuk Yew Tung Seang.

“Pihak MBPP menggunakan ruang sedia ada di pejabat MBPP Balik Pulau untuk membina ruang bagi program MakerSpace yang telah memberi manfaat kepada lebih 2,000 pelajar untuk menggunakan kemudahan di sini,” katanya kepada pemberita selepas melawat MBPP MakerSpace @ Balik Pulau di Kompleks Pejabat Hasil MBPP, di sini hari ini.

MakerSpace @ Balik Pulau merupakan salah satu inisiatif MBPP untuk melahirkan modal insan yang berkualiti terutamanya golongan muda di kawasan Barat Daya dengan mengaplikasikan ciri-ciri sains, teknologi, kejuruteraan, seni dan matematik (STEAM) selaras dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0.

Dalam pada itu, Gobind berkata beliau akan melihat dan meneliti dengan lebih terperinci modul-modul serta mekanisme yang boleh dilakukan menerusi program sedemikian untuk diperluaskan bukan sahaja kepada para pelajar dan golongan muda bahkan kepada semua lapisan masyarakat.

“Ini adalah inisiatif yang dibawa oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia di mana kita sekarang melihat kepada bagaimana kita boleh mewujudkan modul baharu untuk menarik perhatian khususnya murid dan pelajar sekolah.

“…supaya mereka ini dapat melihat teknologi sebagai sesuatu yang boleh membantu mereka di dalam bidang yang ingin mereka ceburi untuk menjayakan masa depan mereka dan program seperti ini juga perlu dikembangkan kepada seluruh lapisan masyarakat di seluruh Malaysia,” katanya yang turut mengagumi usaha MBPP menjayakan program itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )