Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia wajar diperluas ke peringkat sekolah

Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia wajar diperluas ke peringkat sekolah

KUALA LUMPUR,. Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia wajar diperluaskan ke peringkat sekolah agar pelajar tidak lagi terbeban membawa buku teks sebaliknya hanya menggunakan tablet atau peranti untuk melakukan aktiviti pembelajaran.

Pensyarah Pusat Kajian Teknologi dan Pengurusan Perisian, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Mohd Juzaiddin Ab Aziz berkata penggunaannya di peringkat sekolah bagaimanapun harus dipantau bagi memastikan tidak wujud isu salah guna terhadap peranti berkenaan.

“Selain memantau, peranti yang disediakan juga harus mempunyai kandungan yang sesuai berdasarkan acuan bangsa kita dan matlamat pendidikan.

Jika tidak mempunyai kandungan sesuai, tidak mempunyai pemantauan yang betul…kemungkinan disalah guna itu mudah sebab tablet tersebut mempunyai capaian Internet yang mudah dan Internet ini mempunyai sesuatu perkara yang melekakan pelajar,” kata beliau pada Program Bual Bicara membincangkan topik ‘PerantiSiswa Keluarga Malaysia, Perkasa Kebajikan Pelajar B40’ terbitan Bernama TV, malam tadi.

Mohd Juzaiddin berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan hos program, mengenai keperluan kerajaan memikirkan tentang penggunaan peranti di sekolah dan bukan hanya di institusi pengajian tinggi (IPT) semata-mata.

Turut menjadi tetamu program itu ialah Pengarah Pusat Sitasi dan Infometrik Jabatan Pendidikan Tinggi Noor Hapipah Samat.

Mengulas lanjut, Mohd Juzaiddin berkata kegunaan peranti dalam era digitalisasi kini bukan sahaja membantu pelajar mengikuti pembelajaran secara dalam talian tetapi juga memberi kelebihan dari aspek ”Personalised Learning”.

“Ini kerana ada individu memerlukan kelainan dari segi pembelajaran dan apabila ada kandungan seperti animasi, ia boleh menambah kebolehupayaan pembelajaran mereka dan pendekatan ini harus diambil bagi menggantikan pembelajaran secara tradisional,” katanya.

PerantiSiswa Keluarga Malaysia adalah inisiatif di bawah program ePemula dengan sejumlah RM450 juta diperuntukkan untuk memastikan pengagihannya memanfaatkan kira-kira 350,000 pelajar B40 di IPT, bermula Jun ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)