
Projek pemindahan ilmu: UMT beri manfaat kepada 4,500 individu
KUALA NERUS,. Seramai 4,500 individu mendapat manfaat secara langsung melalui 41 projek pemindahan ilmu berimpak tinggi oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sepanjang tahun lepas.
Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata menerusi Inovasi Sosial@UMT itu, pelbagai kumpulan komuniti telah menerima manfaat hasil pemindahan ilmu yang dilaksanakan termasuk Orang Asli, petani, fakir miskin dan orang kurang upaya di sekitar UMT serta komuniti dalam dan luar negeri Terengganu.
“Dana yang diterima oleh UMT berkaitan dengan pemindahan ilmu melibatkan sumber daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) DAN Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) berjumlah RM132,000.
“Terkini, UMT telah menerima dana daripada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sebanyak RM2.384 juta untuk membantu komuniti B40 di Terengganu menerusi projek melon manis Terengganu (MMT) yang melibatkan Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT), Persatuan Ibu Tunggal Negeri Terengganu, banduan di Penjara Marang dan KOPMET (Koperasi Melon Manis Terengganu),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis santai petugas media bersama Naib Canselor UMT di sini hari ini. Turut hadir, Presiden Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), Khairul Azlam Mohamad.
Pada majlis itu, UMT turut mengetengahkan ikon penyelidik UMT dalam program bersama komuniti menerusi produk Melon Manis Terengganu, buah gac, kacang koro, baja Biowalit, inovasi sos lokan serta inovasi peralatan perikanan.
Nor Aieni turut berkata menerusi publisiti dan liputan meluas yang diberikan pihak media selama ini, UMT kian gah menempa nama sebagai universiti peneraju dalam bidang sains marin dan sumber akuatik.
“UMT sangat berbesar hati mendapat kerjasama padu daripada rakan media termasuk RTM dan Bernama.
“Apatah lagi dengan kehadiran COVID-19 ini, fokus media juga terhad. Sudah pasti, pelbagai program telah disusun dan akan dilaksanakan sepanjang Julai sehingga Disember ini dan pastinya kehadiran rakan media amat dialu-alukan bagi merancakkan lagi program yang bakal berlangsung,” katanya.
— BERNAMA