Projek rintis Diversion bermula hari ini di tiga lokasi – TPM

Projek rintis Diversion bermula hari ini di tiga lokasi – TPM

PUTRAJAYA,. Projek rintis “Diversion” dilaksanakan di tiga lokasi iaitu daerah Sepang, Seremban dan Port Dickson selama tempoh dua tahun bermula hari ini (16 Dis), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Konsep Diversion merupakan pendekatan alternatif untuk mengendalikan kanak-kanak berumur bawah 18 tahun yang telah melakukan jenayah dengan menekankan perlindungan dan pemulihan, kata Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Diversion dilaksanakan bagi kesalahan tertentu berdasarkan kepada ‘kes demi kes’ dalam bentuk pemberian amaran atau intervensi tanpa perlu melalui prosiding mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Projek itu adalah usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan sokongan teknikal daripada UNICEF Malaysia dan kerjasama Jabatan Peguam Negara (JPN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), katanya.

Beliau berkata ia selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengutamakan kebajikan kanak-kanak seperti yang dinyatakan dalam Dasar Kanak-Kanak Negara dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Menurutnya, pendekatan Diversion telah dilaksanakan lebih 20 tahun lepas di Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah dan dalam tempoh 10 tahun yang lepas, Diversion juga telah dimulakan di negara-negara ASEAN kecuali Malaysia.

Pada 11 Sept lepas, kerajaan dalam mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju program itu dilaksanakan secara rintis di Malaysia.

Menurut Dr Wan Azizah, berdasarkan data PDRM sejak 2015, sebanyak 67 peratus hingga 69 peratus daripada kanak-kanak yang mempunyai konflik dengan undang-undang boleh dikategorikan sebagai berisiko rendah dan sederhana yang melibatkan kes jenayah harta benda.

“Bagi memastikan keberkesanan projek rintis Diversion ini dan kepentingan awam serta kanak-kanak diseimbangi, pegawai JKM, JPN dan PDRM yang terlibat telah diberi latihan untuk mengendalikan kes-kes Diversion,” katanya

Menurutnya, pelaksanaan Diversion di negara lain terbukti mengurangkan kadar kesalahan berulang, mengurangkan trauma dan kesan psikologi negatif daripada proses kehakiman sedia ada, mengurangkan stigma akibat proses kehakiman sedia ada dan tahanan, serta membantu pemulihan dan pengintegrasian semula ke dalam masyarakat.

“KPWKM berharap projek rintis ini akan diperluaskan pelaksanaannya secara menyeluruh pada masa akan datang,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )