Proses pelupusan Khinzir dijangkiti ASF dilakukan segera elak penularan

Proses pelupusan Khinzir dijangkiti ASF dilakukan segera elak penularan

ALOR GAJAH,. Proses pelupusan ke atas 6,000 babi disyaki dijangkiti Demam Babi Afrika (ASF) akan dilakukan segera selepas penilaian dan diputuskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Beliau berkata bagi babi yang disahkan sihat, haiwan berkenaan boleh disembelih di rumah penyembelihan ditetapkan dan penjualannya hanya dilakukan di dalam negeri Melaka sahaja.

”Ini selaras dengan Seksyen 19 Akta Binatang 1953 (Pindaan 2013) dan ternakan di ladang disahkan bebas jangkitan dibenarkan untuk penyembelihan di rumah sembelih yang diluluskan sahaja tetapi karkas dan daging babi tidak dibenarkan dibawa keluar ke negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Misi Pasca Banjir Melaka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau yang diadakan di JAPERUN Ayer Limau di sini hari ini, yang disempurkan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata terdapat 35 ladang dengan ternakan berjumlah lebih 40,000 ekor babi di Paya Mengkuang, Masjid Tanah dan daripada jumlah tersebut, 6,000 ekor babi dari tujuh ladang disyaki dijangkit ASF.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Jasin menasihati penduduk sekitar agak tidak panik memandangkan jangkitan tersebut hanya melibatkan haiwan dan tidak menjangkiti manusia.

”Kita membuat pemantauan dan pengawasan rapi dan jika ada kes baharu, kita akan ambil tindakan segera. Setakat ini dilaporkan adalah hanya di tujuh ladang yang telah dikenal pasti.

”Malah semua penternak yang terlibat juga memberi kerjasama baik bagi membolehkan proses pengawasan dan pengawalan dilakukan di ladang mereka,” jelasnya.

Semalam, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Malaysia mengesahkan berlakunya penularan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di tujuh ladang babi komersial di Paya Mengkuang di Masjid Tanah di sini.

Penyakit berkenaan dikesan ekoran penyiasatan dijalankan pihak JPV susulan laporan penternak babi terlibat serta pengesahan sampel yang diuji di Makmal Veterinar Sepang pada 20, 22 dan 23 Disember.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)