Proton sokong seruan untuk bangunkan NxGV
KUALA LUMPUR,. Pengeluar kereta, Proton telah mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk mentransformasikan Malaysia menjadi hab untuk pembangunan dan pengeluaran Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV) dan komponen kritikal, ia berkata langkah ke arah elektrik dan hibrid powertrains (komponen utama yang menjana dan menggerakkan kuasa elektrik).
Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd, Dr Li Chunrong berkata strategi baharu itu memberi peluang kepada pihak berkepentingan dalam industri automotif untuk memperkenalkan teknologi baharu ke negara ini sambil meningkatkan kemahiran dan keupayaan komuniti vendor tempatan.
“Dengan struktur pemilikan, Proton dapat memanfaatkan kekuatan pemegang sahamnya – memberikan akses kepada ekosistem tempatan melalui DRB-Hicom dan akses kepada teknologi baharu melalui Geely Auto Group, untuk merebut peluang yang dibentangkan oleh Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020),” katanya dalam satu kenyataan.
Li berkata pelancaran NAP 2020 menunjukkan Malaysia bergerak ke arah penggunaan kenderaan teknologi baharu yang mempunyai elektrik dan hibrid powertrains serta teknologi autonomi dan kesalinghubungan.
“Dua pemegang saham Proton memberikan kami akses kepada ekosistem industri automotif Malaysia serta teknologi yang diperlukan untuk model NxGV, salah satu teras utama dasar ini.
“Masih terdapat banyak langkah untuk diambil dan Proton yakin dengan dasar yang betul, kami akan dapat menyumbang ke arah mencapai matlamat yang ditetapkan dalam NAP 2020,” kata Li.
Bagaimanapun, beliau berkata pada peringkat awal Proton akan meneruskan jadual pelaburannya dalam produk dan teknologi baharu, serta kemudahan kilang dan pembuatan.
Syarikat itu juga akan terus bekerjasama dengan vendor tempatan dan menggalakkan pelaburan dalam teknologi baharu, terutama melalui kerjasama strategik untuk menerapkan keupayaan teknikal dan mengembangkan daya maju komersial.
Mengenai rangkaian jualannya, Li berkata Proton berusaha untuk meningkatkan pengalaman pemilikan para pelanggannya, melalui pengembangan perkhidmatan bersepadu di cawangan 3S/4S di seluruh negara.
NAP 2020 dilancarkan hari ini oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Usaha untuk membangunkan industri automotif domestik telah diketuai oleh MITI, kementerian yang dipertanggungjawabkan menguruskan NAP, ia mula diperkenalkan pada 2006 untuk membantu mengawal selia industri automotif tempatan.
— BERNAMA