PRU15: BN setuju beri laluan kepada PH di Parlimen Padang Serai

PRU15: BN setuju beri laluan kepada PH di Parlimen Padang Serai

KULIM,. Hanya beberapa jam sebelum hari mengundi awal esok, Barisan Nasional (BN) bersetuju untuk memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai.

Perkara itu diumumkan Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Ceramah Pengumuman Khas PRU15 Parlimen Padang Serai di Taman Desa Aman, Padang Meiha, malam ini.

“Setelah mengambil ketetapan dan mendengar arahan pimpinan atasan terutamanya Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, maka kita suka untuk menyatakan dan mengumumkan bahawa laluan di Padang Serai juga diberikan kepada PH,” katanya pada majlis itu.

Turut hadir adalah Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Pengerusi PH Kedah Datuk Mahfuz Omar.

Sehubungan itu, Jamil Khir berkata calon BN bagi PRU15 Padang Serai Datuk C.Sivaraj akan menyokong dan membantu calon PH Dr Mohamad Sofee Razak untuk memenangi kerusi berkenaan.

Bagaimanapun nama Sivaraj kekal dalam kertas undi Parlimen Padang Serai berdasarkan Perkara 9 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, iaitu tiada seorang pun calon boleh menarik balik pencalonannya selepas pukul 10 pagi pada hari penamaan.

PRU15 bagi Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Mohamad Sofee, Sivaraj, Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan calon Bebas Sreanandha Rao.

Namun, Warisan telah menarik diri daripada bertanding bagi merebut kerusi berkenaan selain turut menyatakan sokongan dan akan membantu kempen calon PH.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan pada 7 Dis dan pengundian awal pada 3 Dis berikutan kematian calon PH yang disahkan M. Karupaiya.

Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 yang dikemas kini sehingga 9 Okt akan digunakan untuk pilihan raya itu; yang mengandungi 133,867 orang pemilih melibatkan 133,776 pengundi biasa, 76 orang polis dan 15 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)