PRU15: Pengecilan Kabinet berasas, boleh dilaksanakan – Annuar
KUALA KANGSAR,. Komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengecilkan anggota jemaah menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) kekal diberi mandat adalah berasas dan boleh dilaksanakan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata kabinet yang diketuai Ismail Sabri sebelum ini diambil alih ketika ketidakstabilan politik.
“Kita tahu kabinet PM Datuk Seri Ismail Sabri pada masa yang lepas adalah kabinet yang terpaksa digabungkan (parti-parti)…daripada suasana ketidakstabilan, jadi mungkin dianggap oversized.
“Komitmen yang diberikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri sekarang iaitu kalau kabinet yang baharu, pasca pilihan raya, komitmen untuk mengecilkan (kabinet) itu sesuatu yang dialu-alukan.
“Ini supaya misalnya perbelanjaan dan pembahagian tugas sebagainya (dilaksanakan lebih baik) kerana beliau berpengalaman menjadi PM, dia tahu mana yang boleh dikecilkan.
“Jadi kalau dia buat komitmen itu ada asas, dan saya yakin PM akan melakukannya,” katanya kepada pemberita selepas program Ceramah Umum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) BN Padang Rengas di sini malam tadi.
Ismail Sabri dilaporkan berkata beliau akan mengecilkan anggota jemaah menterinya sekiranya BN memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan beliau dipilih menerajui Putrajaya sekali lagi, dengan saiz kabinet yang akan dibentuk adalah lebih kecil berbanding jumlah menteri sekarang menerusi gabungan beberapa kementerian.
Ditanya mengenai pengekalan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri selepas PRU15, Annuar menyifatkan Ismail Sabri sebagai calon terbaik berdasarkan rekod yang baik selain berpengalaman luas dalam mentadbir pelbagai kementerian, serta diterima oleh seluruh pihak.
— BERNAMA