PRU15: PKR gugur beberapa ‘pejuang’ lama demi peralihan kuasa dalam parti

PRU15: PKR gugur beberapa ‘pejuang’ lama demi peralihan kuasa dalam parti

KUALA LUMPUR ,. Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan proses pemilihan calon yang akan bertanding untuk parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai satu tugasan sukar kerana terpaksa menggugurkan beberapa ‘pejuang’ lama yang telah berkhidmat kepada rakyat.

Beliau berkata keputusan menggugurkan mereka terpaksa dibuat kerana mahukan ada peralihan kuasa dalam kalangan individu yang menjadi calon parti.

“Menggugurkan beberapa Ahli Parlimen yang telah menjadi sahabat lama dan menggantikannya dengan muka baharu tidak mudah kerana kita belum tahu bagaimana (pencapaian) mereka yang baharu.

“Tetapi kita berpendapat mesti ada peralihan kuasa dalam parti, tidak boleh orang yang sama kekal. Jadi saya harap rakan-rakan yang tidak mendapat tempat (menjadi calon) agar tidak berasa hati, ingat sumpah keramat bahawa perjuangan dalam parti bukan semata untuk menjadi calon sebaliknya berjuang untuk membela nasib rakyat,” katanya.

Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), berkata demikian pada Malam Pengumuman Calon PKR di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Taman Kosas, Ampang, di sini, malam Jumaat.

Sementara itu, Timbalan Presiden, Rafizi Ramli berkata PKR merupakan parti yang pertama memuktamadkan senarai calon yang akan bertanding pada pilihan raya itu pada 19 November ini.

Beliau berkata PKR telah memuktamadkan senarai seminggu lebih awal bagi memberi ruang kepada calon untuk berkempen.

“Ini supaya calon yang dipertaruhkan oleh PKR dalam pilihan raya kali ini mempunyai lebih masa untuk mendekati rakyat dan memahami keluhan serta kesusahan yang dihadapi oleh mereka,” katanya yang juga merupakan Pengarah Pilihan Raya parti itu.

Dalam pada itu, Rafizi menyifatkan kerusi Parlimen Tambun yang ditandingi Anwar bukan kerusi mudah untuk dimenangi namun beliau sanggup mengambil risiko untuk memastikan gelombang kemenangan PH pada PRU15.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)