PSP tidak diteruskan sehingga diumumkan kemudian – Saifuddin Nasution
PUTRAJAYA,. Pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP), yang dijadualkan bermula Januari 2020, tidak diteruskan sehingga ke satu masa yang akan diumumkan kemudian, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Mengumumkannya dalam kenyataan hari ini, beliau berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet pada 18 Dis lepas.
“Sementara menunggu pengesahan pelaksanaan PSP diumumkan, rakyat akan terus menikmati harga petrol berdasarkan sistem sedia ada,” katanya.
Pada 7 Okt lepas, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PSP bermula Januari 2020, sesuai dengan manifesto Pakatan Harapan. Kerajaan memperuntukkan RM2.4 bilion bagi PSP dalam Belanjawan 2020 dengan jumlah penerima akan manfaatkan lapan juta orang daripada kelompok B40 dan M40.
Mereka yang layak akan diberikan subsidi petrol sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan untuk pemilik motosikal yang disalurkan dalam bentuk pemindahan tunai dan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan.
Berikutan pelaksanaan PSP itu, harga petrol RON95 akan diapungkan.
Saifuddin Nasution berkata keputusan itu adalah bagi memberi ruang untuk sesi penerangan dan penjelasan diteruskan dengan tujuan memberi kefahaman dan mempersiapkan rakyat menerima pelaksanaan program PSP.
Ia juga bagi memberi ruang kepada proses pendaftaran penerima daripada kelompok M40 yang akan dikendalikan oleh Kementerian Kewangan, katanya.
Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian kelengkapan sekolah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini, Saifuddin Nasution berkata kementeriannya sudah bersedia melaksanakan PSP namun Kabinet berpendapat harus ditingkatkan lagi penerangan.
“Pihak kementerian memang telah bersedia untuk pelaksanaan PSP dengan kenal pasti kumpulan penerima, kaedah pembayaran, nombor akaun, libat urus dengan syarikat minyak untuk memastikan bekalan cukup,” katanya.
Beliau berkata Kabinet berpendapat lebih banyak ruang harus diberikan untuk meningkatkan lagi penerangan supaya dasar itu dapat diterima oleh rakyat dengan baik.
“Rakyat akan terus menikmati harga minyak RON95 RM2.08 seliter dengan kerajaan beri subsidi 30 sen,” katanya.
— BERNAMA