Public Mutual umum agihan lebih RM64 juta untuk 5 dana
KUALA LUMPUR,. Anak syarikat milik penuh Public Bank, Public Mutual hari ini mengumumkan pengagihan berjumlah lebih RM64 juta untuk lima dana bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan, 2020.
Pengagihan kasar itu termasuk 5.0 sen seunit bagi Dana Pasaran Wang Public, 4.25 sen seunit bagi Dana Bon Diperkasa Public, 1.5 sen seunit bagi Dana Indeks Public, 0.5 sen seunit bagi Dana Tumbuh Optimal Islam Public dan 0.4 sen seunit bagi Dana Ekuiti Bina Dividen PB.
Dalam satu kenyataan hari ini, Public Mutual berkata Dana Indeks Public dan Dana Bon Diperkasa Public terbuka untuk Skim Pelaburan Ahli KWSP.
“Siri Dana Public diagihkan oleh perunding unit amanah Public Mutual manakala Siri Dana PB diagihkan melalui cawangan Public Bank di seluruh negara,” katanya.
Public Mutual adalah syarikat unit amanah swasta yang terbesar di Malaysia, menguruskan lebih 140 dana unit amanah.
Ia juga penyedia Skim Persaraan Swasta (PRS) yang diluluskan, menguruskan sembilan dana di bawah skim itu.
Syarikat itu, yang mempunyai 31 cawangan/pusat perkhidmatan pelanggan di seluruh negara, menguruskan dana bernilai RM86.6 bilion sehingga akhir Disember 2019.
— BERNAMA