Pulau Pinang catat lebihan RM65.27 juta, kenal pasti sumber pendapatan baharu – Ketua Menteri

Pulau Pinang catat lebihan RM65.27 juta, kenal pasti sumber pendapatan baharu – Ketua Menteri

GEORGE TOWN,. Pulau Pinang mencatatkan lebihan kewangan sebanyak RM65.27 juta sehingga 31 Mac lepas selepas kerajaan negeri memperoleh pendapatan RM268.46 juta, melebihi perbelanjaan sebanyak RM203.18 juta.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri sebanyak RM1.54 bilion merangkumi Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM199.22 juta dan Akaun Amanah Disatukan sebanyak RM1.34 bilion setakat 30 April lepas.

“Penyata kewangan bagi 2024 (belum diaudit) menunjukkan kedudukan Kumpulan Wang Disatukan berjumlah RM1.38 bilion berbanding RM1.46 bilion pada 2023 merangkumi Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM155.94 juta dan Akaun Amanah Disatukan berjumlah RM1.23 bilion.

“Akaun Hasil Disatukan pula menurun sebanyak RM174 juta berbanding 2023 manakala Akaun Amanah Disatukan meningkat RM92.79 juta berbanding 2023,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Goh Choon Aik (PH-Bukit Tambun) mengenai jumlah terkini Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Kumpulan Wang Disatukan kerajaan negeri, di sini.

Chow berkata, kerajaan negeri mengakhiri tahun kewangan 2024 dengan kurangan semasa berjumlah RM174 juta iaitu lebih rendah berbanding kurangan tahun 2023 berjumlah RM358.8 juta.

Katanya, kurangan tersebut disebabkan hasil diperoleh sebanyak RM810.4 juta berbanding perbelanjaan mengurus RM719.5 juta dan pindahan ke Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM265 juta.

Beliau berkata, Pulau Pinang telah menerima pendahuluan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM100 juta bagi menampung aliran tunai yang antaranya menyumbang kepada peningkatan Akaun Amanah Disatukan.

Dalam pada itu, Chow berkata, Jabatan Kewangan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) telah mengambil inisiatif untuk mengenal pasti sumber pendapatan baharu bagi tahun ini menerusi dua siri bengkel bagi memperkukuh kedudukan kewangan.

“Dua bengkel tersebut ialah Bengkel Semakan Kadar, Prosedur Kutipan Hasil dan Mengenal Pasti Isu Tunggakan dan Pengurangan Hasil Negeri Pulau Pinang pada 2 hingga 4 Ogos 2024.

“Selain itu, Bengkel Hala Tuju serta Peningkatan Hasil Pentadbiran dan Agensi di bawah kerajaan negeri pada 15 hingga 18 Jan 2025.

“Dapatan daripada kedua-dua bengkel tersebut telah menghasilkan 24 strategi peningkatan atau pemantapan hasil. Sebanyak sembilan strategi sedang dalam tindakan pelaksanaan tahun ini,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This