Pulau Pinang julang trofi Liga Premier dengan iringan hujan rahmat

KUALA TERENGGANU,. Hujan renyai-renyai mengiringi majlis penyampaian trofi Piala Liga Premier 2020 kepada Pulau Pinang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, malam ini.

Majlis dimulai dengan penyampaian pingat kepada pemain dan pegawai sebelum penyampaian trofi yang diserahkan oleh Exco Belia dan Sukan negeri Pulau Pinang, Soon Lip Chee kepada ketua jurulatih, Manzoor Azwira Abd Wahid.

Turut hadir Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang yang juga Timbalan Speaker negeri, Dr Amar Pritpal Abdullah.

Bagaimanapun, keriangan skuad Harimau Kumbang meraikan kejuaraan sulung Liga Premier, agak tercalar apabila Terengganu FC II meleburkan rekod tanpa kalah pasukan itu yang telah memenangi kesemua 10 perlawanan sebelum ini.

Jaringan tunggal penyerang import dari Ghana Jordan Mintah pada minit ke-87 sudah cukup bagi Terengganu FC II untuk memberikan kekalahan pertama kepada Pulau Pinang pada aksi terakhir liga malam ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )