Purata 160,000 jangkitan harian COVID-19 dilapor sejak minggu lalu – WHO

Purata 160,000 jangkitan harian COVID-19 dilapor sejak minggu lalu – WHO

GENEVA,. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam melaporkan jangkitan COVID-19 berada pada tahap tertinggi ketika ini dengan purata 160,000 kes baharu setiap hari.

Agensi kesihatan di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu turut melaporkan data bagi tujuh hari mulai 25 Jun hingga 1 Julai lalu menunjukkan angka tertinggi bagi kes baharu COVID-19.

Kes COVID-19 pada 28 Jun menunjukkan angka tertinggi jangkitan harian dengan lebih 189,599 penduduk dunia dilaporkan positif virus itu.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata sejak seminggu lalu jumlah kes baharu 160,000 orang pada setiap hari.

“Ini bermakna 60 peratus daripada semua kes jangkitan dilaporkan dalam tempoh sebulan lalu saja.

“Setakat ini, lebih 10.7 juta disahkan dijangkiti COVID-19 termasuk lebih 517,000 kematian manakala hampir enam juta disahkan sembuh di seluruh dunia,” katanya pada sidang media secra maya.

Di Amerika Syarikat (AS) sejak 10 Jun lalu, angka kematian harian buat pertama kalinya melepasi 1,000 orang Selasa lalu.

Sementara itu, Greece yang mencatatkan angka korban kurang daripada 200 orang, turut melaporkan mengalami kelembapan ekonomi selepas pelaksanaan perintah berkurung dan sekatan perjalanan bagi mengekang pandemik itu.

Sepanyol dan Portugal pula dilaporkan mengadakan majlis sambutan sempena pembukaan semula pintu sempadan bagi kedua-dua negara itu.

Buat masa ini, Russia tidak termasuk dalam senarai Kesatuan Eropah (EU) sebagai ‘negara selamat’ untuk dilawati pelancong.

Dalam perkembangan lain, kerajaan AS mengumumkan pembelian 92 peratus daripada pengeluaran ubat antiviral Remdesivir bagi merawat pesakit COVID-19.

Bagaimanapun, Britain dan Jerman semalam berkata stok Remdesivir mereka adalah mencukupi pada ketika ini walaupun AS dilaporkan membeli hampir keseluruhan pengeluaran sedia ada.

Antara lain, sektor kewangan dunia paling terjejas khususnya industri penerbangan, apabila sekatan perjalanan dilaksanakan kebanyakan negara.

Berikutan itu, pengeluar pesawat Eropah berkata mereka turut merancang untuk mengurangkan sekitar 15,000 pekerja di seluruh dunia.

Selain itu, kebanyakan acara sukan antarabangsa turut ditangguhkan, termasuk penganjuran Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dan siri ketujuh Kejohanan Ragbi Piala Dunia.- AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )