
Pusat Hiburan Haram Diserbu, 16 GRO Warga Asing Ditahan
KUALA LUMPUR – Polis menahan 16 warga asing disyaki bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) dalam serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Jalan Metro Perdana Barat, Taman Usahawan, Kepong di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata menerusi serbuan pada jam 10.50 malam itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang berperanan sebagai penjaga premis.
Menurutnya, kesemua tangkapan membabitkan individu berumur 23 hingga 57 tahun.
“Seramai 50 orang pelanggan dan pekerja berada di dalam premis ketika serbuan dijalankan, iaitu masing-masing 29 pelanggan lelaki dan dua pelanggan wanita.
“Daripada jumlah itu, 16 orang wanita warga asing yang dipercayai berkhidmat sebagai GRO dan pelanggan lain dibebaskan tanpa syarat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Eng Lai berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati, premis berkenaan dijalankan secara haram dan pihaknya turut merampas peralatan audio yang digunakan untuk tujuan hiburan serta sekeping resit pembayaran.
Jelasnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kerana menjalankan aktiviti pusat hiburan tanpa lesen perniagaan sah.
Pada masa sama, Eng Lai berkata, pihaknya membuka Kertas siasatan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen kerana mengajikan warga asing tanpa permit sah, Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen (tiada dokumen perjalanan sah) dan Seksyen 39b (peraturan Imigresen kerana kesalahan menyalahguna pas lawatan).
“Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang, malah tindakan tegas berlandaskan undang-undang sedia ada akan diambil terhadap individu melanggar peraturan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-40482222,” katanya.
– Getaran, 18 September 2022