Pusat hiburan salur info menerusi Twitter diserbu polis, 24 pengunjung diperiksa

Pusat hiburan salur info menerusi Twitter diserbu polis, 24 pengunjung diperiksa

PETALING JAYA: Sebuah pusat hiburan di Icon City di sini, yang membuat hebahan mengenai aktivitinya menerusi laman sosial Twitter bagi mendapatkan pelanggan diserbu polis malam Ahad.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 11.15 malam itu polis memeriksa 24 pengunjung termasuk 11 wanita.

“Sebuan itu dibuat menerusi Ops Cantas Khas selepas menerima aduan daripada orang awam.

“Pemeriksaan polis mendapati premis hiburan ini mempunyai lesen hiburan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) namun tidak mempunyai lesen untuk menjual minuman keras.

“Jadi, kita mengambil tindakan ke atas pusat hiburan ini mengikut Akta Eksais 1976 kerana menjual minuman keras tanpa lesen yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Menurut Mohamad Fakhrudin, premis yang sama pernah diserbu dua kali sebelum ini pada Ogos dan Oktober tahun lalu kerana melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan menggaji pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah.

Kedua-dua kesalahan itu, kata beliau, sudah diambil tindakan di mahkamah.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha pusat hiburan yang melanggar undang-undang.

Katanya, orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-Umavathi Ramayah

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)