
Pusat santuari gajah di Gerik dijangka beroperasi menjelang 2030 – Perhilitan
IPOH,. Pusat perlindungan gajah atau ‘Pusat Santuari Gajah Perak’ di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dijangka siap sepenunhya menjelang 2030, kata Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Shariff.
Beliau berkata projek yang menelan belanja sekitar RM40 juta itu telah dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi pada 6 Mei lepas dan keputusan penuh berhubung pembinaannya tertakluk di bawah bidang kuasa penuh kerajaan pusat.
“Jika projek ini berjalan lancar, saya fikir pusat santuari itu boleh beroperasi seawal 2028 namun untuk siap sepenuhnya (kemudahan infrastruktur) mungkin 2030 sasaran yang realistik.
“Dengan adanya kemudahan seumpama itu akan mengurangkan konflik antara manusia dan gajah di JRTB sekitar 50 ke 60 peratus (serangan),” katanya ketika dihubungi Bernama.
Bernama melaporkan pada 18 Julai 2020, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (kini dikenali Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam) mengumumkan Pembangunan Pusat Santuari Gajah Perak (PES) di Batu 11, JRTB di Gerik.
Berdasarkan rekod Perhilitan, sebanyak 4,919 aduan konflik manusia dan gajah dilaporkan bagi tempoh 2020 hingga 2024, melibatkan kerugian harta dianggarkan berjumlah RM39.4 juta.
Menyentuh keberkesanan lintasan hidupan liar di JRTB, Yusoff berkata laluan sepanjang 200 meter dikenali sebagai viaduct (jejambat) dan dibina dengan kos RM26 juta pada 2015 itu membantu namun tidak menjamin keselamatan gajah yang mendiami kawasan sepanjang laluan itu.
Beliau berkata hal itu kerana lintasan berkenaan dibina di Kilometer (KM) 157 JRTB dan hanya populasi gajah yang mendiami kawasan itu menggunakan kemudahan berkenaan.
“Viaduct itu membantu cuma dalam skala yang kecil dan hanya digunakan haiwan yang mendiami kawasan itu. Jadi, kita fikir dengan adanya pusat santuari akan memberi lebih jaminan keselamatan sama ada kepada pengguna atau gajah di JRTB,” katanya.
Pihaknya juga tidak menolak kemungkinan untuk membina lebih banyak lintasan hidupan liar di JRTB sekiranya terdapat peruntukan khusus.
— BERNAMA