Pusat sehenti di MIDA mudahkan kemasukan pelancong perniagaan

Pusat sehenti di MIDA mudahkan kemasukan pelancong perniagaan

KUALA LUMPUR,. Kerajaan telah menubuhkan pusat sehenti (OSC) yang dikendalikan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), bagi mengukuhkan lagi kedudukan negara sebagai destinasi pilihan pelaburan langsung asing (FDI).

MIDA berkata OSC yang memulakan operasi pada 2 Okt, 2020, akan menilai dan meluluskan permohonan pengembara perniagaan yang layak untuk memasuki Malaysia bagi tujuan perdagangan dan pelaburan.

“Pengembara berkenaan akan diminta untuk menunjukkan bukti pematuhan terhadap prosedur operasi standard yang ketat dan syarat-syarat lain yang diperlukan seperti langkah-langkah kuarantin, yang kini sedang dilaksanakan.

“Walaupun tujuan utama OSC adalah untuk memudahkan pengembara perniagaan, ini hanya akan dilaksanakan seiring dengan langkah memelihara, melindungi dan menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia,” kata lembaga itu dalam satu kenyataan, hari ini.

MIDA berkata OSC telah menerima 221 permohonan daripada pengembara perniagaan, yang mana daripada jumlah itu 207 telah diluluskan.

Turut bersama-sama MIDA dalam mengendalikan OSC ialah wakil daripada Jabatan Imigresen, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Agensi berkenaan akan memastikan status legitimasi dan kesihatan pengembara perniagaan sebelum memasuki Malaysia.

“Pusat itu akan memainkan peranan penting bagi memastikan Malaysia kekal stabil menuju ke arah pemulihan dan pertumbuhan ekonomi, dengan memudahkan kakitangan eksekutif dan penting melakukan perjalanan dan meneruskan pekerjaan mereka di Malaysia,” kata kenyataan itu.

Dari Januari 2020 hingga Jun 2020, Malaysia merekodkan sejumlah RM64.8 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama. Daripada jumlah tersebut, FDI menyumbang sebanyak RM19.5 bilion atau 30.2 peratus.

MIDA telah meningkatkan usaha bagi memastikan Malaysia kekal menjadi destinasi pilihan utama bagi pelabur asing meskipun berdepan penularan pandemik COVID-19.

“MIDA juga komited untuk memastikan langkah-langkah sewajarnya dilaksanakan bagi memastikan persekitaran perniagaan yang rancak di negara ini dan responsif kepada keperluan sektor swasta pada masa kini dan akan datang, khususnya dalam menyesuaikan diri dengan normal baharu,” kata lembaga itu.

Pengembara perniagaan yang layak dan ingin mengemukakan permohonan mereka boleh berbuat demikian melalui laman web MyEntry di https://myentry.myxpats.com.my/app/

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS Wordpress (0) Disqus ( )