Pusingan akhir MSBK dijadualkan dari 20 hingga 22 Jan

Pusingan akhir MSBK dijadualkan dari 20 hingga 22 Jan

KUALA LUMPUR,. Perlumbaan pusingan kedua dan akhir Kejohanan Superbike Malaysia (MSBK) 2020 akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 20 hingga 22 Jan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azlan Shafriman Hanif berkata ia merupakan berita baik bagi peminat sukan permotoran setelah kejohanan yang dijadualkan dari 16 hingga 18 Okt lepas itu ditangguhkan kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang.

“Para pelumba tidak sabar untuk bertanding di MSBK, kita rasa bertuah kerana dapat menyaksikan pusingan akhir kerana ia merupakan penutup acara permotoran bagi tahun 2020. Semoga 2021 menjadi tahun yang lebih baik untuk acara sukan permotoran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd, Ron Hogg berkata penganjur berasa gembira kerana berpeluang menganjurkan pusingan kedua dan terakhir itu sebagai menghormati komitmen kepada pasukan dan pelumba MSBK.

“Awal tahun ini, perintah kawalan pergerakan (PKP) memaksa kami untuk memendekkan musim MSBK 2020 daripada empat menjadi dua pusingan. Ketika pusingan kedua PKP dikuatkuasakan, perlumbaan pusingan kedua juga terpaksa ditangguhkan,” katanya.

Pusingan pembukaan perlumbaan MBSK 2020 diadakan di SIC dari 25 hingga 27 Sept lepas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )