Putera Mahkota Abu Dhabi tiba untuk lawatan khas empat hari ke Malaysia

Putera Mahkota Abu Dhabi tiba untuk lawatan khas empat hari ke Malaysia

SEPANG,. Putera Mahkota Abu Dhabi yang juga Pengerusi Majlis Eksekutif Abu Dhabi Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan tiba di sini malam ini bagi memulakan lawatan khas empat hari ke Malaysia hingga 24 Mei.

Keberangkatan tiba baginda di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 8.42 malam disambut oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Sheikh Khaled kemudian diiringi Tengku Hassanal melalui Kawalan Kehormat Setempat oleh Angkatan Tentera Malaysia Unit I Rejimen Renjer Diraja yang diketuai Kapten Muhammad Shafiq Najmi Mazlan.

Ini merupakan lawatan sulung baginda ke Malaysia sejak ditabal sebagai Putera Mahkota Abu Dhabi dan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Eksekutif Abu Dhabi pada 29 Mac lepas.

Lawatan khas baginda dijangka mengukuhkan lagi hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang telah dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik pada 27 Sept 2022.

Sheikh Khaled dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok serta bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu berkepentingan bersama merangkumi hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa semasa pertemuan itu.

Pada Selasa, baginda akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

UAE merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan destinasi import kedua terbesar dari rantau Asia Barat.

Pada 2022, jumlah dagangan Malaysia dengan UAE meningkat sebanyak 73.5 peratus kepada RM38.73 bilion berbanding RM22.33 bilion bagi tahun sebelumnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )