
PUTRAJAYA: Shahidan Kassim Tegaskan Titah Adendum Najib Perlu Dilaksana Jika Wujud
PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, menekankan bahawa jika Titah Adendum berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, benar-benar wujud, kerajaan wajib melaksanakannya.
“Saya hadir untuk mendengar keputusan berkaitan Titah Adendum ini. Isunya bukan soal sama ada Najib layak atau tidak layak. Jika Titah Adendum itu wujud, ia mesti dilaksanakan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Istana Kehakiman bersama rombongan Penyatuan Ummah.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos, turut menyeru kerajaan untuk bertanggungjawab sepenuhnya jika dokumen itu sahih.
“Jika benar Titah Adendum itu wujud, mana-mana pihak yang cuba menyorok atau menafikannya harus dihukum dengan setimpal,” tegas Jamal.
Pada masa ini, Najib, 72, sedang merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang pada 3 Julai tahun lalu menolak permohonannya untuk semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang didakwa diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Najib mendakwa bahawa Titah Adendum tersebut, jika diluluskan, berkemungkinan membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.