Quartararo Kecewa hanya ditempat kelima GP Aragon

Quartararo Kecewa hanya ditempat kelima GP Aragon

KUALA LUMPUR,. Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo gagal meneruskan retak kemenangannya dan hanya memperoleh tempat kelima dalam Grand Prix (GP) Aragon di Litar Motorland Aragon, Sepanyol pada Ahad.

Pelumba muda dari Perancis yang melakukan empat penyudah podium pada musim ini, mencatatkan masa 41 minit 6.245 saat (s) dalam perlumbaan 23 pusingan itu, menurut laman sesawang MotoGP, www.motogp.com.

Rakan sepasukannya, Franco Morbidelli dari Itali pula gagal menamatkan perlumbaan selepas terlibat dalam kemalangan dengan beberapa pelumba pada permulaan pusingan.

Juara dunia bertahan Marc Marquez daripada pasukan Repsol Honda sedang menghampiri gelaran Juara MotoGP Dunia keenamnya selepas kemenangan kelapan musim ini di litar dalam negaranya sendiri.

Pelumba Sepanyol berusia 26 tahun itu mencatat masa 41 minit 57.221s, diikuti pelumba Pasukan Ducati Andrea Dovizioso dari Itali dan pelumba Australia, Jack Miller daripada pasukan Pramac Racing, masing-masing ketinggalan 4.836s dan 5.430s di belakang pemenang tempat pertama.

Dalam perlumbaan Moto3, kedua-dua pelumba Petronas Sprinta Racing — John McPhee dan Ayumu Sasaki masing-masing di tempat keempat dan ke-13, dengan catatan masa McPhee ialah 38 minit 6.645s sementara Sasaki pula ialah 38 minit 10.821s.

Pasukan Petronas Sprinta Racing tidak mengambil bahagian dalam perlumbaan Moto2 selepas pelumba negara, Adam Norrodin mengambil keputusan menarik diri daripada GP Aragon berikutan kecederaan pada bahu kirinya selepas menamatkan dua sesi latihan bebas Jumaat lepas.

Pusingan ke-14 Kejohanan MotoGP Dunia akan bersambung semula di GP Thailand, Litar Antarabangsa Chang, dari 4 hingga 6 Okt.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )