Quek intai gelaran di gelanggang Malaysia

Quek intai gelaran di gelanggang Malaysia

KUALA LUMPUR,. Pemain Singapura, Quincy Quek mengintai untuk merangkul gelaran apabila beraksi pada Kejohanan Golf PGM MNRB ADT,di Kelab Golf Sarawak di Kuching, bermula esok.

Quek, 32, berada dalam kemuncak prestasi apabila menjuarai gelaran Haikou Classic di China pada Ahad lepas selain mengakhiri kemarau selama tujuh tahun untuk meraih gelaran ADT yang kedua di Kejohanan PGM Northport ADT di Shah Alam, tiga minggu lepas.

“Beberapa minggu itu membawa tuah kepadanya apabila meraih kemenangan di Malaysia dan China. Saya menaruh harapan bagi acara ADT minggu ini. saya berharap prestasi saya akan berterusan untuk menghadapi cabaran di Sarawak,” beliau dipetik sebagai berkata dalam laman sesawang ADT;www.asiantour/adt, hari ini.

Dalam pada itu, pemain kelahiran Singapura itu yang meraih gelaran sulung ADT pada Kejohanan Golf ICTSI Orchard 2012 di Filipina, memberitahu bahawa kedua-dua kejayaan baru-baru ini meningkatkan semangatnya untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“(Layak ke Sukan Olimpik) sudah pasti salah satu matlamat, tetapi yang lebih penting ialah mengambil satu langkah demi langkah pada satu masa, ” tambah Quek.

Pemain Singapura itu dijangka menghadapi persaingan sengit daripada beberapa nama terkenal, termasuk peneraju ADT semasa, Naoki Sekito dari Jepun dan Oscar Zetterwall dari Sweden yang baru-baru ini merangkul gelaran ADT ketiga pada Kejohanan PGM Sabah.

Juara dua kali Jelajah Asia, Danny Chia akan mengetuai cabaran pertarungan tempatan yang juga terdiri daripada beberapa remaja berbakat seperti Shahriffuddin Ariffin dan Amir Nazrin Jailani, selain bekas pemenang ADT – Wilson Choo dan Rizal Amin pada kejohanan yang menawarkan hadiah RM225,000.

Juara Kejohanan ADT ADM Sabah akan membawa pulang RM39,375, selain menerima enam mata mata Official World Golf Ranking (OWGR).

Kejohanan PGM MNRB ADT adalah salah satu daripada sembilan kejohanan yang mendapat restu bersama daripada Jelajah Professional Golf of Malaysia (PGM) Tour, dan ia merupakan edisi ke-4 dalam jadual ADT musim ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )