Raja Mohamed Affandi anggap PRK Kemaman sebagai ‘call of duty’ demi rakyat

Raja Mohamed Affandi anggap PRK Kemaman sebagai ‘call of duty’ demi rakyat

CHUKAI,. Sebagai bekas tentera, tawaran menjadi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) umpama satu ‘call of duty’, kata Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Mengakui tidak mudah membuat keputusan menerima tawaran itu, beliau akhirnya bersetuju bertanding demi pembangunan Kemaman dan kebajikan penduduknya, walaupun terpaksa mengorbankan kehidupannya yang selesa selepas bersara sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT).

“Saya dah selesa hidup, saya punya pencen (wang pencen) cukup. Alhamdulillah, pada masa sama saya juga Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera, saya ada kereta, saya ada pemandu… saya jadi Ahli Parlimen saya pun tak tahu berapa banyak gaji.

“… tetapi saya terima itu, kerana bagi saya ini adalah pengorbanan saya untuk Kemaman. Jadi kalau saya mari sini (ke Kemaman) saya berkorban, jadi berkorbanlah untuk beri saya peluang mewakili orang Kemaman,” katanya semasa berceramah di Bukit Kuang pada kempen PRK Parlimen Kemaman, dekat sini, pada malam Jumaat.

Ceramah itu turut dibarisi Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

PRK itu yang ditetapkan 2 Dis ini sebagai hari mengundi menyaksikan Raja Mohamed Affandi berdepan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.

Beliau bagaimanapun mahu semangatnya itu dikongsi pengundi bagi bersama-sama membangunkan Kemaman yang menjadi tempatnya membesar itu ke tahap lebih tinggi.

“Kalau patah sayap bertongkat paruh, kita berperang dan kita harus menang,” katanya
Sementara itu, Mohamad Sabu dalam ceramahnya mengimbau kembali kenangan beliau semasa dilantik sebagai Menteri Pertahanan yang banyak dibimbing Raja Mohamed Affandi sewaktu masih berkhidmat sebagai PAT.

Beliau berharap individu berkaliber seperti Raja Mohamed Affandi diberi peluang oleh pengundi bagi menjadi wakil rakyat Parlimen Kemaman, seterusnya membawa angin perubahan politik di Pantai Timur.

“Insya-Allah ombak Kerajaan Perpaduan ini boleh bermula di Kemaman hingga ke Sungai Golok (Kelantan),” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )