Raja Mohamed Affandi diumum calon BN bagi PRK Kemaman

Raja Mohamed Affandi diumum calon BN bagi PRK Kemaman

UALA LUMPUR: Bekas Panglima ATM Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor diumum calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.
Pengumuman dibuat Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di sini sebentar tadi.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Mohammed Affandi, biarpun bukan ahli UMNO, tetapi beliau bukan orang luar, sebaliknya dibesarkan di Kemaman, dan keluarganya juga berada di Kemaman.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, beliau percaya faktor calon serta strategi yang bertepatan oleh BN dan Kerajaan Perpaduan, boleh meningkatkan kemungkinan untuk merampas kembali kerusi tersebut daripada Perikatan Nasional (PN).

“Setelah berunding dengan sahabat BN dan UMNO, kita tidak syak calon kita ini dapat membawa perubahan di Kemaman, dan insya-Allah jika terpilih sebagai wakil BN, wakil Kerajaan Perpaduan, Insya-Allah kita akan memberi terus keperluan rakyat di Kemaman.

“Beliau (diyakini) dapat menabur perkhidmatan, dengan terus membangunkan Kemaman, terutamanya kampung-kampung tradisional, FELDA, Felcra, kampung Orang Asli, masyarakat pinggir bandar dan bandar untuk orang-orang Cina, dan kita juga akan menyantuni seramai lebih 7,000 pengundi India, dan hampir 7,000 pengundi Cina di Kemaman, di samping lebih 300 pengundi Orang Asli,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada media sewaktu Majlis Pengumuman Calon BN bagi PRK Kemaman, di Menara Dato’ Onn, di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, Mohamed Affandi telah melakukan banyak jasa kepada negara sepanjang 40 tahun berkhidmat sebagai tentera, dan beliau sendiri mengakui keberadaannya dalam kerjaya sebahagian besar kerana jasa UMNO dan BN.

“Beliau menyatakan kesediaannya untuk menawarkan diri (sebagai calon) atas tawaran daripada kepimpinan BN dan UMNO, bahawa keberadaan beliau dalam kerjaya yang telah dilalui atas jasa BN dan khususnya UMNO.

“Maka beliau berhasrat untuk membalas jasa UMNO. Biarpun beliau tahu bahawa sebagai seorang calon, tentu ada risiko terpaksa beliau hadapi, namun pada hemat kami, semangat beliau untuk mewakili UMNO atas tiket BN adalah sesuatu yang amat luar biasa,” katanya lagi.

Dalam pada itu Mohamed Affandi berkata, beliau menganggap tanggungjawab yang diberikan itu sebagai panggilan tugas (call of duty) kepada negara.

“Saya sudah berkhidmat antara 42 hingga 43 tahun, dan usia dah menjangkau sweet 66. Di atas usia apa saya lalui ini, saya fikir apabila diberikan tawaran ini, saya rasa it is about time untuk saya berikan balik apa yang ada pada saya sepanjang 40 tahun ke negara ini, khususnya bagi Parlimen Kemaman.

“Ingin saya nyatakan terima kasih di atas kepercayaan, kepercayaan diberikan itu mempunyai nilai sangat tinggi, dan saya akan berusaha tentukan kepercayaan itu saya bayar balik,” katanya lagi.
Pada 26 Sept lepas, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili Pas setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)

Pada 3 Oktober lalu, Pas memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.

Pertembungan empat penjuru di Parlimen Kemaman sebelum ini menyaksikan Che Alias menang majoriti 27,179 undi dengan memperoleh keseluruhan 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi.

-Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)