Raja Petra tiada kredibiliti ulas isu politik semasa, kata Saifuddin

Raja Petra tiada kredibiliti ulas isu politik semasa, kata Saifuddin

ALOR SETAR,. Penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamarudin tidak mempunyai wibawa atau kredibiliti untuk mengulas isu politik semasa negara pada masa kini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, Raja Petra yang membawa diri ke luar negara setelah berhadapan beberapa proses mahkamah, jelas menunjukkan tidak berwibawa untuk memberi sebarang ulasan.

“Dia memilih untuk berada di negara lain berbanding berhadapan undang-undang, jadi dia tiada kredibiliti untuk beri ulasan dalam masa sekarang.

“Saya pun tak mau ulas apa-apa (mengenai Raja Petra) kerana keadaan tak ubah apa-apa fakta. Lebih baik urus dan jaga kebajikan rakyat daripada kita ulas soal dia… rugi kolum dalam surat khabar saja,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedah/Sungai Anak Bukit dekat sini, semalam.

Sebelum ini, polis memaklumkan akan merujuk kepada Pejabat Peguam Negara bagi menentukan tindakan ke atas Raja Petra berhubung dakwaan terdapat gerakan ahli Parlimen pembangkang untuk menggulingkan kerajaan yang dikenali sebagai ‘Langkah Dubai’.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pengasas dan penulis portal Malaysia Today itu kini berada di London.

Sementara itu, Saifuddin turut membidas tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menggunakan perkataan ‘barua’ dalam kenyataannya baru-baru ini.

“Saya cuba untuk jarakkan diri… proses pilihan raya dah selesai, rakyat dah buat keputusan. Agama ajar saya akhlak, adab, akidah dan syariah jadi pemilihan perkataan biarlah kita hati-hati,” katanya.

Beliau berkata, sebagai pemimpin, perkataan seumpama itu harus dielakkan demi menjaga hubungan baik dengan semua pihak.

Perkataan itu disebut Muhammad Sanusi selepas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu daripada Persatuan Bola Sepak Kedah Darul Aman (KFA) yang disyaki terbabit rasuah bernilai RM6 juta.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)