Raja Rozela antara 9 individu dilantik Pesuruhjaya Kehakiman
PUTRAJAYA,. Bekas Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II di Pejabat Peguam Negara Datuk Raja Rozela Raja Toran adalah antara sembilan individu yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman.
Raja Rozela, 58, dan lapan yang lain menerima surat cara pelantikan masing-masing daripada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat hari ini.
Sebelum ini, Raja Rozela mengetuai pendakwaan dalam dua kes rasuah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membabitkan dana milik Yayasan Alkalbudi dan sistem Visa Luar Negara.
Beliau telah bersara awal pada bulan Oktober lepas. Jawatan terakhir yang disandang beliau ialah Pengarah Unit Litigasi Khas di Jabatan Peguam Negara.
Turut dilantik Arziah Mohamed Apandi, 48, yang juga anak bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Tujuh individu lain ialah Datuk Hazizah Kassim, 51, Kan Weng Hin, 61, Mohd Rosli Bin Yusoff, 51, Tuan Gan Techiong, 58, Suriyati Hasimah Mohd Hashim, 51, Maslinda @ Linda Mohd Ainal, 49, dan Saiful Azian Mokhtar, 51.
Rozela, Arziah dan lima yang lain mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Maslinda dan Saiful Azian pula mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli.
Majlis penyampaian surat cara pelantikan serta mengangkat sumpah jawatan dan taat setia itu berlangsung di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman hari ini.
Turut hadir Peguam Negara Datuk Ahmad Terrirudin Salleh dan bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif.
— BERNAMA