Rakyat Britain mula jalani kuarantin

Rakyat Britain mula jalani kuarantin

LONDON,. Rakyat Britain yang pulang ke negara itu dari beberapa bahagian Eropah dan luar mula menjalani kuarantin pada Sabtu di bawah peraturan sekatan baharu, ketika Russia mendakwa sudah menghasilkan kumpulan pertama vaksin COVID-19 yang mencetuskan kontroversi.

United Kingdom (UK) memilih untuk mengeluarkan Perancis, Belanda, Malta dan tiga lagi negara daripada senarai tempat yang dikecualikan peraturan pengasingan diri, selepas gelombang kedua jangkitan virus itu menyebabkan lebih banyak gangguan dan kekacauan ekonomi di benua itu.

Sekatan baharu yang diumumkan Khamis lalu, mencetuskan perebutan tiket pesawat, kereta api dan feri dalam tempoh 36 jam, dalam kalangan rakyat Britain yang terdesak untuk pulang sebelum perubahan peraturan pada jam 4 pagi (0300GMT).

Semua ketibaan dari negara yang disenarai hitam selepas tamat tempoh itu mesti menjalani kuarantin diri selama 14 hari, dengan langkah pelaksanaan sudah pun ada bagi mereka yang pulang dari beberapa negara termasuk Sepanyol dan Belgium.

Pelajar Perancis, Antoine, 23, memendekkan percutiannya dan bergegas pulang ke universiti di Bristol di tenggara England.

“Saya seorang pelayan di kafe kecil berdekatan kolej, saya tidak mampu untuk menghabiskan masa 14 hari di rumah,” katanya di stesen kereta api St Pancras, London selepas tiba dengan kereta api Eurostar.

Perniagaan Eurotunnel dilaporkan melonjak.

“Perkhidmatan Penumpang Le Shuttle membawa kira-kira 30 peratus lebih aliran trafik semalam berbanding ramalan awal, menambah 22 tambahan pelepasan kepada jadual musim panas waktu puncak, yang membawa lebih 300,000 penumpang.

“Kakitangan tambahan turut bersedia untuk mempercepatkan penumpang melalui terminal dan Shuttles, bagi membantu Eurotunnel membawa 11,600 kenderaan pada waktunya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Perancis berdepan peningkatan semula penyakit yang muncul di China pada akhir tahun lalu itu dan sehingga kini sudah menjangkiti lebih 21 juta orang di seluruh dunia serta membunuh lebih 760,000 orang.

Pihak berkuasa Perancis melaporkan lebih 2,500 kes baharu setiap hari sejak empat hari lalu, lebih 3,000 kes pada Sabtu, tahap yang tidak dilihat sejak Mei ketika negara itu keluar daripada pelaksanaan perintah berkurung.

Dengan kes yang semakin meningkat di seluruh dunia, Moscow berkata, penghantaran pertama vaksin “Sputnik” sudah dikeluarkan, hanya empat hari selepas Presiden Vladimir Putin mengumumkan Russia memenangi perlumbaan global bagi meluluskan vaksin.

Dakwaan itu menimbulkan maklum balas skeptikal daripada saintis Barat dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang mengatakan bahawa vaksin itu masih memerlukan kajian keselamatan yang ketat. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)