Rakyat digalak penuhi pekerjaan industri perladangan, banyak manfaat menanti

Rakyat digalak penuhi pekerjaan industri perladangan, banyak manfaat menanti

KUALA NERUS,. Rakyat tempatan digalakkan menceburi bidang perladangan bagi memenuhi pasaran pekerjaan dan memperoleh pendapatan lumayan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau yang mengulangi saranan kerajaan itu berkata kebanyakan rakyat tidak menyedari kelebihan yang bakal diperoleh kerana beranggapan ia adalah pekerjaan ‘3D’ iaitu kotor, bahaya dan sukar menerima gaji yang lebih tinggi.

“Mereka termasuk pasangan berkeluarga tidak nampak peluang yang disediakan. Kita sediakan rumah, sekolah, masjid…semua syarikat perladangan akan sediakan (kemudahan) itu kerana ada akta dan ordinan yang mesti diikuti semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pemberian sumbangan kepada kira-kira 200 orang yang terdiri daripada asnaf dan anak yatim di sekitar Parlimen Kuala Nerus di sini pada Jumaat.

Mohd Khairuddin berkata kerajaan juga sentiasa mengadakan kempen untuk menarik minat rakyat tempatan mengisi kekosongan jawatan dalam bidang itu dan mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat menerusi laman web kementerian, syarikat perladangan atau melalui JobsMalaysia.

Dalam masa sama, beliau berkata kementerian memohon untuk mendapatkan kira-kira 32,000 pekerja asing untuk menuai buah kelapa sawit tidak lama lagi dan kini sedang menunggu keputusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Sumber Manusia.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)