Rakyat Malaysia mahu kerajaan dapatkan balik hasil cukai lesap kepada pasaran gelap – Kaji selidik

Rakyat Malaysia mahu kerajaan dapatkan balik hasil cukai lesap kepada pasaran gelap – Kaji selidik

KUALA LUMPUR, 28 Mei — Majoriti rakyat Malaysia mahu kerajaan mendapatkan balik hasil cukai yang lesap kepada ekonomi atau pasaran gelap bagi melindungi pekerjaan dan membantu pemulihan ekonomi berikutan krisis pandemik Covid-19, demikian menurut dapatan daripada satu kaji selidik.

Firma penyelidikan pasaran Green Zebras Sdn Bhd, yang mengendalikan pungutan suara dalam talian itu pada bulan ini mendapati 83 peratus daripada responden mahu kerajaan melakukan ini.

Pengarah Urusan dan Pengasas Bersamanya Steve Murphy berkata kebanyakan responden (78 peratus) bersetuju bahawa aktiviti pasaran gelap mengancam pekerjaan dan menjejaskan prestasi perniagaan.

“Ketika rakyat Malaysia kini mengisi borang cukai pendapatan persendirian sebelum tarikh akhir 30 Jun ini, jaminan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi merupakan perkara paling dibimbangi mereka. Rakyat Malaysia mahu kerajaan memiliki dana secukupnya bagi membiayai pemulihan ekonomi dan menjamin pekerjaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Murphy berkata, sejumlah 45 peratus responden merasa tidak terjamin sama sekali mengenai pekerjaan mereka dalam situasi sekarang.

Pungutan suara Persepsi Mengenai Cukai kelolaan Green Zebras itu dilakukan secara dalam talian pada Mei 2020 di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dan merupakan perwakilan peringkat kebangsaan bagi keseluruhan penduduk berdasarkan lokasi, jantina, kaum dan usia.

Beliau berkata apabila Green Zebras menanyakan bagaimana perasaan peserta kaji selidik mengenai cukai mereka, 11 peratus menyatakan ia sangat tinggi, manakala 35 peratus berkata ia agak tinggi sedikit. Satu pungutan suara seumpamanya dikendali oleh Green Zebras tahun lalu mendapati bahawa sebilangan besar rakyat Malaysia merasakan cukai mereka terlalu tinggi sebelum berlakunya krisis Covid-19.

“Apabila kita lakukan perbandingan tahun atas tahun, kami boleh merumuskan bahawa rakyat Malaysia hari ini adalah lebih bersedia dan bersungguh membayar cukai mereka berbanding tahun lalu. Ini berkaitan dengan impak pandemik global dan kefahaman bahawa pembayar cukai mesti melaksanakan tanggungjawab mereka untuk membantu pemulihan negara.”

“Namun begitu, pembayar cukai tidak mahu mereka sahaja memikul beban. Mereka mahu Kerajaan meningkatkan perolehan dengan membanteras aktiviti pasaran gelap seperti penjualan rokok tidak berbayar cukai, yang mengakibatkan kerajaan menanggung kerugian lebih RM5 bilion setahun,” katanya.

Sementara itu, majoriti (70 peratus) penduduk merasakan kerajaan secara umumnya melakukan tugas terbaik bagi membantu negara dan rakyat menghadapi krisis sehingga kini.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)