Rakyat muak banyak sangat parti politik – Zahid Hamidi

Rakyat muak banyak sangat parti politik – Zahid Hamidi

BAGAN DATUK: Kewujudan terlalu banyak parti politik akan menyebabkan rakyat muak dengan kepelbagaian ideologi, perbezaan pendapat yang akan membawa ekonomi negara terus dalam fasa ketidaktentuan, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar).

Beliau berkata landskap politik negara seharusnya terus maju ke hadapan dengan mengelakkan penambahan parti politik dan mengurangkan perbezaan ideologi serta pendapat, sekali gus bergerak dalam landasan yang sama untuk memajukan negara.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, seseorang itu bebas untuk menubuhkan sebarang persatuan, pertubuhan mahupun parti politik. Tapi kita harus lihat jika negara kita mempunyai terlalu banyak parti politik, akan menimbulkan kepelbagaian dan tidak ada satu parti dominan yang menulang belakangi sistem demokrasi bagi membentuk kerajaan.

“Kami, tiada UMNO baru tiada UMNO lama. Kami ambil perkiraan, semua peringkat umur termasuk veteran. Jika ada perbezaan pendapat, ini sering diraikan setiap kepimpinan. Saya tidak fikir perlunya semangat untuk hidupkan sesuatu parti yang telah diharamkan pada 1988.

“Semangat itu perlu disuntik dalam UMNO yang sekarang. Mari kita berpadu supaya kita dapat bergerak dalam landasan yang sama. Bukan UMNO, Barisan Nasional sahaja harus diperkukuhkan tapi tiba masanya kita hentikan perbezaan ideologi politik demi negara tercinta,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian selepas menyertai program vaksin ke rumah pesakit-pesakit terlantar bersama Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di sini, kira-kira 110 kilometer dari Ipoh hari ini.

Ahmad Zahid mengulas laporan media bahawa Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li telah mengetuai mesyuarat dengan sekumpulan veteran UMNO bagi membincangkan usaha mewujudkan ‘UMNO lama’ semalam.

Pada 21 September lalu, Ku Li menyatakan hasrat menghidupkan semula ‘UMNO lama’ dan mengalu-alukan jika ada orang yang berminat untuk menyertainya.

– ARK

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )