Rakyat muak cerita politik –  Muhyiddin Yassin

Rakyat muak cerita politik – Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR,. Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak memikirkan soal politik kepartian sejak mula dilantik Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lalu.

Beliau juga mengelak daripada mengeluarkan kenyataan berbaur politik, kerana menyedari rakyat muak dengan ‘cerita politik’, terutama yang menyentuh soal parti dan status kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya, beliau terus menumpukan kepada usaha membantu rakyat yang berdepan penularan wabak COVID-19 dan merangka pakej rangsangan untuk memastikan ekonomi negara terus stabil.

“Saya sejak awal duduk di kerusi Perdana Menteri, tak fikir soal politik. Soal pokok sekarang ini rakyat tak nak dengar dah. Saya tahu mereka muak cerita itu.

“Yang mereka nak tahu, apa kerajaan buat. Apa Perdana Menteri atau Jemaah Menteri dan juga pentadbiran kerajaan yang ada hari ini laksanakan untuk menangani isu penting yang sedang mereka hadapi.

“Sebab itu saya tidak pun dalam mana-mana kenyataan sebelum ini, hatta sekarang ini, nak mengulas soal berkaitan hal politik.

“Nanti orang kata soal COVID tak selesai, dia cerita soal parti dia, dia cerita soal gabungan dia, kerajaan dia, keabsahan dia. Yang ini rakyat tidak berminat,” katanya dalam temubual khas bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro Awani, yang disiarkan malam tadi.

Muhyiddin mengangkat sumpah Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Selepas 17 hari mengangkat sumpah, Muhyiddin mengejutkan negara apabila mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Muhyiddin menegaskan, segala isu dan cerita berkaitan soal politik negara akan beliau jelaskan apabila tiba waktu sesuai berbuat demikian.

Namun, tegas Perdana Menteri, keutamaan beliau ketika ini ialah memastikan kerajaan berfungsi dengan sebaiknya untuk rakyat.

“Saya faham perkara itu, sebab itu bagi saya itu (penjelasan) akan sampai masa yang agak sesuai, dan kalau perlu dijelaskan, kita akan jelaskan. Bagi saya ini amanah.

“Ini tanggungjawab. Yang ini rakyat nak melihat, kita ini berfungsi atau tak. Saya dah sebutkan sewaktu pembentukan Jemaah Menteri, this is a functional government. Ini kerajaan yang berfungsi, yang melaksanakan tugas.

“Ini yang saya nak buktikan. Yang saya fikir, inilah yang rakyat mahu diutamakan,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)