RAM Sustainability beri penarafan tertinggi kepada Halpro di bawah Sukuk SRI Hijau ASEAN

RAM Sustainability beri penarafan tertinggi kepada Halpro di bawah Sukuk SRI Hijau ASEAN

KUALA LUMPUR,. RAM Sustainability Sdn Bhd memberikan penarafan Manfaat Alam Sekitar Tahap-1 (Tier-1 EB) kepada loji solar Halpro Engineering Sdn Bhd (Halpro) di bawah cadangannya bagi Sukuk (Cadangan Sukuk Hijau) pelaburan bertanggungjawab mampan (SRI) Hijau ASEAN pada RM195 juta.

Dalam kenyataan, ia berkata instrumen itu turut membawa penarafan kredit yang diberikan oleh RAM Ratings.

Pendapat bebas RAM Sustainability, dikenali sebagai pendapat kedua, merumuskan bahawa rangka kerja itu memberikan kejelasan mengenai penggunaan hasil, penilaian dan pemilihan projek, pengurusan hasil dan pelaporan komitmen.

“Rangka kerja itu konsisten dengan syarat kelayakan Rangka Kerja Sukuk SRI Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Piawaian Bon Hijau ASEAN, Forum Modal ASEAN dan Prinsip Bon Hijau Persatuan Pasaran Modal Antarabangsa.

“Pada pandangan kami, cadangan sukuk hijau akan mewujudkan kesan alam sekitar positif dan konsisten dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.

Hasil daripada Cadangan Sukuk Hijau Halpro akan digunakan untuk membiayai pembangunan, operasi dan pengurusan loji kuasa solar 30 megawatt (MW) di Pekan, Pahang.

Dalam memberikan penarafan Tier-1 EB, RAM Sustainability telah turut mengambil kira tenaga diperbaharui bersih yang dijana oleh loji itu.

Dijadual memulakan operasi menjelang akhir suku pertama 2020, loji itu dijangka menjana tenaga kira-kira 74 gigawatt-jam (GWh) setahun.

RAM Sustainability, penyedia analitik perkhidmatan dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mampan, ialah anak syarikat milik penuh RAM Holdings Bhd.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)