Rancanglah Harta Sebelum Terlambat

Rancanglah Harta Sebelum Terlambat

Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Profesor Madya Dr Siti Mashitoh Mahamood

Agihan harta dan pusaka tidak semestinya berlaku setelah seseorang itu meninggal dunia. Pendapat bahawa agihan harta hanya berlaku melalui peninggalan harta pusaka semata-mata adalah tidak tepat sepenuhnya. Di ruangan ini saya ingin berkongsi tentang keunikan dan fleksibelnya beberapa kaedah pelaksanaan agihan harta orang Islam yang boleh dilaksanakan.

Dalam Islam, suatu perancangan harta boleh dibuat sama ada semasa pemilik harta itu masih hidup atau selepas kematiannya. Ia boleh diberikan kepada waris dan bukan waris, tertakluk kepada peraturan yang terpakai berdasarkan instrumen yang dipilih. Fakta ini memberikan fleksibiliti kepada seseorang untuk pembahagian sebahagian harta yang dimilikinya bagi faedah ahli keluarga dan penerima yang ditentukan. Meskipun agihan harta menerusi pewarisan merupakan kaedah utama namun terdapat beberapa kaedah lain yang boleh dilakukan terhadap harta yang ditinggalkan.

Kaedah lain pewarisan harta

Perancangan harta melalui hibah misalnya boleh dibuat kepada waris dan bukan waris, ia boleh dilakukan semasa hayat seseorang penghibah. Seorang anak angkat boleh dinamakan sebagai benefisiari atau penerima hibah walaupun dia bukanlah waris yang sah menurut hukum syarak. Jika tiada apa-apa pemberian untuknya menerusi hibah, wasiat atau lainnya, maka seseorang anak angkat tidak boleh memiliki harta yang ditinggalkan. Dia juga bukanlah seorang waris pusaka (melainkan jika ada hubungan dengan pemilik harta berkenaan yang melayakkannya mendapat bahagian di dalam harta peninggalan si mati).

Begitu juga anggota keluarga atau pihak bukan beragama Islam boleh dinamakan oleh penghibah sebagai penerima hartanya. Hibah juga boleh dibuat kepada ahli waris seperti kepada anak-anak. Menurut jumhur fuqaha’, pemberian secara adil kepada mereka adalah sunat. Harta yang dihibahkan wajar dibuat pindah milik semasa penghibah masih hidup, ia bagi mengelakkan berlakunya sebarang pertikaian khususnya apabila agihan harta hendak dilaksanakan. Pastikan juga penerima harta telah mengambil milikan harta yang dihibahkan kepadanya. Contohnya mengusahakan tanah atau mendiami rumah yang dihibahkan di samping melaksanakan urusan pindah milik yang disebutkan tadi supaya pelaksanaannya sempurna dan tidak boleh dipertikaikan, kecuali jika terdapat unsur-unsur tak wajar lain yang berlaku atau berbangkit.

Mewasiatkan harta

Selain hibah, seseorang pemilik harta boleh mewasiatkan hartanya untuk dinikmati oleh penerima tidak melebihi 1/3 daripada baki bersih harta peninggalannya. Jika berlaku lebihan, maka kesahannya bergantung kepada persetujuan waris lain selepas kematian pewasiat. Wasiat juga tidak boleh dibuat kepada ahli waris melainkan ahli waris lain bersetuju selepas kematian pewasiat.

Wasiat juga boleh diperuntukkan untuk tujuan agama dan khairat umum seperti untuk maslahat tempat beribadat, kepada fakir miskin dan lainnya dengan berpandukan kepada hukum wasiat dalam Islam sebagaimana yang dijelaskan tadi. Sebagaimana hibah, wasiat juga boleh diperuntukkan kepada anggota keluarga atau pihak bukan beragama Islam.

Wakaf – sebahagian daripada perancangan harta

Wakaf boleh juga dijadikan sebagai satu daripada kaedah perancangan harta malah ia merupakan cara terbaik untuk seseorang bersedekah dan menginfaqkan hartanya. Wakaf juga memberi peluang terbaik kepada seseorang pemilik harta untuk berbakti kepada anggota keluarganya melalui instrumen wakaf keluarga (juga dikenali sebagai wakaf zurri atau wakaf ahli). Sebagaimana hibah dan wasiat, wakaf juga boleh dibuat kepada anggota keluarga atau pihak bukan beragama Islam. Berbanding dengan konsep harta-harta yang lain, wakaf dapat mempastikan manfaat berkekalan diperolehi oleh penerimanya.

Konsep wakaf memerlukan fizikal asal harta yang diwakafkan untuk dikekalkan iaitu hanya manfaatnya sahaja diberikan kepada penerima berkelayakan atau digunakan untuk tujuan yang diakui sah. Harta yang diwakafkan tidak boleh terlibat dalam sebarang bentuk transaksi pindah milik, tidak boleh dijual, diwarisi oleh waris pewakaf dan tidak boleh dihibahkan kepada penerima atau tujuan yang lain. Menariknya wakaf telah diiktiraf sebagai sedekah jariah, iaitu seseorang yang berwakaf akan diberikan ganjaran pahala yang tidak putus oleh Allah SWT walaupun dia telah meninggal dunia. Pastikan wakaf yang dibuat didaftarkan sewajarnya dengan Majlis Agama Islam negeri kerana badan ini merupakan pemegang amanah tunggal harta wakaf negara mengikut undang-undang yang berkuatkuasa.

Pembahagian harta perlu ikut hukum syarak

Perkara penting yang perlu diketahui oleh masyarakat adalah perlunya hasrat dan agihan harta yang dibuat dilaksanakan menerusi surat cara dan sighah yang jelas serta sah menurut hukum syarak. Ia bagi memastikan hasrat dan keinginan pembuat harta dapat dilaksanakan secara sah serta boleh berkuatkuasa tanpa masalah berbangkit di kemudian hari.

Demikianlah beberapa kaedah perancangan harta dan pusaka yang boleh dilaksanakan oleh pemilik harta secara fleksibel. Ternyata ia bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada ummah dan orang tersayang, malah ganjarannya turut diperolehi si pembuat harta. Tanpanya, harta peninggalan akan tetap diagihkan mengikut hukum pusaka dengan takat dan agihan tertentu kepada ahli waris yang ditinggalkan. Walau apapun, pusaka kekal sebagai instrumen agihan harta yang utama berdasarkan ketetapan yang adil menurut kaca mata syariah.

–BERNAMA

Profesor Madya Dr Siti Mashitoh Mahamood merupakan Profesor Madya di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)