
Randai Macbeth: Adaptasi interkultural yang berani
Pementasan Randai Macbeth adalah bukti bahawa dialog antara budaya bukan sahaja memperkaya pengalaman seni, tetapi juga membuka ruang untuk kita menilai semula isu universal.
PEMENTASAN Randai Macbeth arahan Norzizi Zulkifli merupakan sebuah adaptasi interkultural unik yang menggabungkan elemen tradisi Nusantara dengan karya klasik Barat.
Ia bukan sekadar eksperimen estetik, tetapi juga eksplorasi mendalam mengenai makna kuasa, moral, dan takdir yang melintasi sempadan budaya.
Adaptasi ini berjaya menjadikan karya Shakespeare relevan dengan konteks semasa.
Penggabungan elemen Randai dalam Macbeth mencetuskan dialog estetik antara dua budaya.
Randai, dengan pergerakan berirama dan kerjasama kolektif, menekankan nilai keharmonian dan keseimbangan – berbeza dengan sifat individualistik dan fokus konflik dalaman dalam karya asal Shakespeare.
Kontras ini menyerlahkan perbezaan asas antara dua budaya: Macbeth bertumpu pada dilema dan kehancuran individu, manakala Randai meraikan semangat komuniti dan kerjasama.
Penggunaan Randai bukan sahaja menyegarkan persembahan Macbeth tetapi juga memberikan identiti tempatan yang kukuh kepada karya Barat ini.
Norzizi bukan sekadar memperkenalkan keindahan seni tradisional Nusantara kepada khalayak, tetapi turut membuktikan bagaimana karya klasik Barat boleh diolah semula untuk relevan dengan isu-isu dan nilai masyarakat moden.
Pementasan ini adalah bukti bahawa dialog antara budaya bukan sahaja memperkaya pengalaman seni, tetapi juga membuka ruang untuk kita menilai semula isu universal seperti kuasa, moral, dan takdir dalam perspektif yang lebih luas dan kontekstual.
Pujian atas kerjasama ASWARA dan UiTM
Pementasan ini merupakan hasil kerjasama Pusat Seni Pentas Traditional (PuTRA), ASWARA, dan Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM, yang berjaya membawa Macbeth kepada khalayak dengan sentuhan tempatan yang segar.
Persembahan ini berlangsung di Blackbox ASWARA dari 10 hingga 12 Oktober lalu dan telah mencuri perhatian ramai.
Kepakaran Norzizi dalam adaptasi interkultural
Norzizi yang juga Ketua Pengajian Seni Persembahan di UiTM, bukanlah asing dalam dunia adaptasi interkultural.
Sebelum ini, beliau menghasilkan Mak Yong Titis Sakti, adaptasi A Midsummer Night’s Dream oleh Shakespeare, yang pertama kali dipersembahkan pada 2009 dan dihidupkan kembali pada 2018 sempena ulang tahun ke-30 The Actor’s Studio.
Karya ini bukan sahaja istimewa kerana tersenarai dalam Asian Shakespeare Intercultural Archive, tetapi juga menjadi bahan rujukan akademik.
Pada 2017, Norzizi memperkenalkan Throne of Thorns, adaptasi The Tempest karya Shakespeare, yang diperkaya dengan elemen Mak Yong.
Projek ini adalah sebahagian daripada penyelidikan PhD beliau di University of Wollongong, Australia.
Takdir dan pilihan: Tafsiran Barat dan Nusantara
Dalam dunia Nusantara, konsep takdir sering dikaitkan dengan qada’ dan qadar, tetapi manusia tetap bertanggungjawab atas pilihannya.
Randai Macbeth menonjolkan konflik antara takdir dan keputusan yang pilihannya untuk memenuhi ramalan ahli sihir, kejatuhannya adalah akibat keputusan moralnya, bukan sekadar takdir.
Ini selari dengan falsafah Nusantara bahawa setiap individu harus memikul tanggungjawab atas tindakannya, walaupun di bawah ketentuan Ilahi.
Randai Macbeth, lakonan Che Kem atau Kamarulzaman Taib memfokuskan kepada motivasi Macbeth untuk meraih kuasa, walaupun ia memerlukan pengkhianatan.
Konflik antara takdir dan pilihan diekspresikan melalui pergelutan dalaman yang halus, mencerminkan bagaimana keinginan peribadi mengatasi moral dan ramalan.
Che Kem bijak bermain dengan gerak tubuh dan ekpresi bagi menyampaikan maksud sebenar karakter bukan sekadar dibenihkan di dalam dialog.