Rangkaian Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC/GLIC dijenamakan semula kepada GDRN

Rangkaian Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC/GLIC dijenamakan semula kepada GDRN

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan penjenamaan semula Rangkaian Tindak Balas Bencana syarikat berkaitan kerajaan (GLC)/syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) kepada GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN) dengan skop yang diperluaskan daripada Jalinan Kemanusiaan sedia ada kepada Jalinan Ilmu dan Jalinan Sejahtera.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) berkata dengan skop baharu korporat ini, GDRN akan menerajui usaha Tanggungjawab Sosial Korporat secara lebih selaras dan teratur bagi mengoptimumkan sumber terkumpul GLC dan GLIC), sekali gus memanfaatkan lebih ramai kumpulan B40 dan golongan tumpuan tertentu.

“Kerajaan sedar perlunya potensi rangkaian GDRN ini ditambah baik supaya ia bersifat responsif dan lebih proaktif dalam membina keupayaan dan daya tahan Keluarga Malaysia,” katanya dalam ucapan beliau semasa Pelancaran Hari Terbuka GLC 2022 di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata di bawah skop baharu rangkaian tersebut, Jalinan Ilmu merangkumi biasiswa, peluang dan akses pendidikan serta pembangunan kemahiran insan manakala Jalinan Sejahtera mengutamakan pembinaan kehidupan dari segi menjana pendapatan, membina kemahiran vokasional dan ilmu pengurusan kewangan, serta memastikan kesejahteraan kesihatan dan alam sekitar.

“Pada tahun 2013, beberapa GLC dan GLIC telah bergabung usaha untuk menubuhkan Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC/GLIC bertujuan menyelaraskan pemberian bantuan sosial dan pembinaan semula selepas bencana alam atau malapetaka.

“Antara tahun 2013 dan 2016, rangkaian ini telah menyumbang kepada operasi pemulihan dan pembinaan semula, terutamanya untuk mangsa banjir di Kelantan, Pahang dan Johor,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh dua tahun lepas sejak 2020, rangkaian itu juga telah membantu lebih daripada 450,000 orang yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan banjir dengan pelbagai jenis bantuan bernilai RM 327 juta, termasuk geran padanan kerajaan melebihi RM55 juta.

Sementara itu, perdana menteri berkata pewujudan GLC dan sumbangannya kepada ekonomi negara serta masyarakat adalah ibarat seperti ‘benih cengal’ yang dijadikan logo Hari Terbuka GLC dan simbol keutuhan ekosistem GLC dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia.

“Bagi tempoh jangka masa panjang, dapatlah kita menikmati manfaat benih ini yang bukan hanya menjadi sebatang pokok, tetapi juga sebuah hutan, yang boleh diumpamakan sebagai sebuah ekonomi yang “Makmur, Inklusif dan Mampan” bagi manfaat seluruh Keluarga Malaysia.

“Mendukung aspirasi ini, Hari Terbuka GLC 2022 diadakan bertujuan mendekatkan Keluarga Malaysia dengan GLC dan GLIC, terutamanya dalam membina semula kehidupan pasca pandemik COVID-19,” katanya.

Ismail Sabri berkata hari terbuka yang bertemakan ‘Aspirasi Masyarakat, Inspirasi Negara’ itu menekankan usaha berterusan GLC dan GLIC dalam membina semula kehidupan Keluarga Malaysia pasca-pandemik dan mempamerkan konsep GLC dekat dengan rakyat selaras dengan Aspirasi Keluarga Malaysia.

Justeru, beliau turut menyeru Keluarga Malaysia agar merebut peluang yang ditawarkan oleh GLC dan GLIC sepanjang tiga hari penganjuran hari terbuka tersebut yang menawarkan banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang, sokongan perniagaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan peluang kerjasama dengan GDRN oleh badan bukan kerajaan bagi memenuhi tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

“Adalah menjadi harapan saya agar platform seperti ini menjadi pemudah cara bagi Keluarga Malaysia dan GLC untuk mendekati dan menyumbang kepada satu sama lain.

“Berdasarkan pencapaian masa lalu, sememangnya wajar untuk kita meletakkan harapan tinggi terhadap syarikat GLC dan GLIC dalam membantu mempercepatkan proses pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

– BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )