Rangkuman COVID-19 Dunia : Korban di AS sudah melepasi 200,000 orang

Rangkuman COVID-19 Dunia : Korban di AS sudah melepasi 200,000 orang

BEIJING, 23 Sept — Amerika Syarikat (AS) perlu melaksanakan lebih banyak saringan COVID-19 untuk mengawal penularan wabak memandangkan negara itu sudah mencatatkan lebih 200,000 kematian, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut pakar, walaupun AS pada Sabtu mencatatkan rekod dengan lebih sejuta saringan dalam sehari, ia masih perlu dipertingkatkan antara enam juta ke 10 juta ujian.

Di Afghanistan, Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan pada Rabu mengesahkan 49 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 39,145 termasuk 5,089 kes aktif.

Sebanyak 231 ujian saringan dilakukan dalam tempoh 24 jam lalu dan 49 kes positif di laporkan di tujuh wilayah.

Di Argentina melaporkan 470 lagi kematian menjadikan jumlah korban sehingga kini seramai 13,952, kata Kementerian Kesihatan pada Selasa.

Sebanyak 12,027 kes telah didaftarkan dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah keseluruhan 652,174 kes.

Sementara itu di Berlin, Jerman menyaksikan pertambahan sebanyak 1,769 lagi kes menjadikan bilangan keseluruhan sebanyak 275,927, menurut Institut Robert Koch pada Rabu.

Seramai 13 orang meninggal dunia menjadikan korban keseluruhan 9,409.

Di Beijing, pihak Pentadbiran Awam Kastam China pada Rabu mengumumkan langkah-langah pencegahan ke atas produk hasil laut Norway diperketatkan, selepas sampel makanan laut beku yang diimport dari negara itu didapati positif COVID-19.

Susulan itu juga pihak berkuasa kastam akan menangguhkan penerimaan permohonan import berkaitan produk dikenali “GADUS NJORD”, selama seminggu.

Di Yangon, Myanmar 216 kes jangkitan baharu dicatatkan, menurut laporan harian Kementerian Kesihatan dan Sukan.

Myanmar sudah mencatatkan sebanyak 6,959 kes disahkan manakala angka korban melonjak kepada 116 orang selepas seorang lagi pesakit berusia 43 tahun meninggal dunia.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)