Rapatkan jurang ekonomi antara kaum – MTEM

Rapatkan jurang ekonomi antara kaum – MTEM

KUALA LUMPUR,. Agenda Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030) diharapkan dapat merapatkan jurang ekonomi antara kaum dan mempunyai nilai tinggi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Ahmad Yazid Othman.

Beliau berkata komuniti ekonomi bumiputera mengharapkan Agenda Pemerkasaan Bumiputera dipergiatkan lagi menerusi pentadbiran baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Beberapa sasaran pencapaian Bumiputera perlu dinilai semula dan segera melaksanakan projek pembangunan ekonomi untuk menggerakkan ekonomi berdasarkan satu dasar induk Bumiputera di bawah WKB2030, dan bukannya terus mengamalkan dasar penjimatan (austerity drive) serta mesej-mesej politik, ia tidak memberi faedah kepada rakyat dan negara.

“Jangan biarkan falsafah kuasa pasaran (market forces) menentukan nasib negara. Perlu ada kerterlibatan kerajaan (state intervention) supaya taraf hidup rakyat khususnya bumiputera dapat dipertingkatkan dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan malam ini.

Selain itu, beliau berkata MTEM berpendapat perlantikan dalam badan legislatif, peguam negara, agensi kerajaan dan syarikat milik berkaitan kerajaan harus daripada kalangan mereka yang mempunyai kredibiliti dan berwibawa dalam usaha meningkatkan keyakinan rakyat, peniaga dan pelabur,

Kerajaan juga perlu memperkukuhkan kewibawaan institusi kehakiman bagi mencerminkan kerajaan yang bermaruah dan berintegriti tinggi.

“Tadbir urus yang lemah perlu ditangani supaya perubahan khususnya melibatkan kaum bumiputera, golongan petani, pesawah dan penduduk miskin bandar mendapat manfaat sepenuhnya,” kata Ahmad Yazid.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )