Raymond Cheah: Pegawai Khas TPM buat laporan polis

Raymond Cheah: Pegawai Khas TPM buat laporan polis

KUALA LUMPUR,. Pejabat Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah membuat satu laporan polis berhubung tindakan seorang lelaki yang dikatakan menyamar sebagai penasihat kepada TPM.

Laporan dibuat oleh Pegawai Khas TPM Yew Boon Lye di Balai Polis Klang, Klang Selatan petang tadi, terhadap individu bernama Raymond Cheah, selepas pejabat itu menerima banyak aduan dan pertanyaan mengenai lelaki tersebut daripada orang awam.

“Kita tidak pernah melantik mahupun mempunyai jawatan penasihat TPM seperti yang didakwa oleh individu bernama Raymond Cheah itu. Kita khuatiri tindakannya itu, akan menjejaskan nama baik TPM.

“Saya ditugaskan untuk membuat laporan polis, bagi membolehkan siasatan dijalankan sebab ia merupakan satu perkara yang sangat serius, memandang jawatan yang didakwa (Raymond Cheah) tidak wujud sama sekali,” katanya kepada Bernama.

Jelasnya, isu itu turut mendapat perhatian Dr Wan Azizah sendiri dan telahpun membuat penjelasan dalam laman Facebooknya semalam.

Hantaran itu turut menyertakan gambar sekeping kad nama individu berkenaan, yang menggunakan jawatan penasihat kepada jabatan TPM.

Walaupun sehingga kini tiada sebarang perkara serius mahupun jenayah dilakukan individu terbabit, namun pihaknya bimbang kerana nama baik pejabat TPM telah disalahgunakan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)