Real beri harapan buat Atletico memburu kejuaraan La Liga Sepanyol

Real beri harapan buat Atletico memburu kejuaraan La Liga Sepanyol

MADRID: Real Madrid memberikan harapan besar kepada Atletico Madrid untuk memburu kejuaraan La Liga Sepanyol selepas seri tanpa jaringan dengan Getafe pada Ahad. Atletico membelasah Eibar 5-0 untuk mengembalikan saingan kejuaraan liga dan kemenangan mereka terbukti berharga apabila Real Madrid diikat tanpa jaringan di Coliseum Alfonso Perez.

Ini bermakna Atletico mengekalkan kelebihan di tangga teratas liga dengan kelebihan tiga mata berbanding Real Madrid sementara Barcelona, yang kurang satu perlawanan selepas memenangi Copa del Rey pada Sabtu, kurang lima mata di belakang.

Sevilla mungkin masih boleh bersaing selepas menewaskan Real Sociedad 2-1 tetapi mereka kurang enam mata di belakang Atletico. Real Madrid mengharungi dua minggu hebat selepas menewaskan Barcelona minggu lepas, di antara menyingkirkan Liverpool di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara.

Tetapi kecederaan dan ketiadaan pemain kerana COVID-19 melemahkan skuad Real dan perlawanan menentang Getafe jelas memberi kesan kepada mereka.

Jurulatih Real, Zinedine Zidane hanya mempunyai 13 pemain senior berpengalaman untuk dibawa ke Getafe dan masih membuat keputusan beliau harus merehatkan Toni Kroos dan Karim Benzema, yang bermula di bangku simpanan.

Sergio Ramos, Ferland Mendy dan Lucas Vazquez masih merawati kecederaan sementara Eden Hazard dan Dani Carvajal belum bersedia sepenuhnya untuk kembali beraksi. Nacho Fernandez dan Casemiro digantung perlawanan sementara Raphael Varane dan Fede Valverde tidak dapat beraksi kerana positif COVID-19.

Ini bermakna Zidane menurunkan hanya tiga pemain senior di benteng pertahanan, dengan pemain berusia 21 tahun, Victor Chust, diberikan penampilan kesebelasan utama yang pertama dalam liga di posisi pertahanan tengah dan Alvaro Odriozola diturunkan di pertahanan kanan.

Benzema dan Kroos dimasukkan selepas rehat tetapi kedua-dua pemain gagal mengubah nasib Real, yang berharap pemainnya kembali cergas untuk perlawanan menentang Cadiz pada Rabu ini.

Perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Chelsea juga kurang sembilan hari lagi.

Ia mewakili sedikit perubahan rentak selepas memenangi empat dari 11 perlawanan liga yang menyaksikan kelebihan 10 mata Atletico Madrid di tangga teratas pada bulan Februari, berjaya dikurangkan kepada hanya satu sebelum perlawanan hujung minggu lepas.

Tetapi kemenangan besar ke atas Eibar di Stadium Wanda Metropolitano mungkin terbukti mengembalikan prestasi Atletico.

Masalah Atletico diburukkan lagi dengan kecederaan penyerang sensasinya, Luis Suarez awal bulan ini tetapi Marcos Llorente dan Angel Correa mengisi kekosongan dengan baik apabila masing-masing menjaringkan gol di antara gol Yannick Carrasco ketika Atletico mendahului 3-0 pada masa rehat.

Ia adalah kali pertama Atletico menjaringkan lima gol sejak membelasah Cadiz pada bulan September lepas.

Eibar, yang kekal di tangga tercorot, mungkin lawan yang sempurna untuk memulakan kebangkitan Atletico tetapi perlawanan menentang Huesca, Athletic Bilbao dan Elche selepas ini seharusnya menawarkan Atletico peluang untuk mengembalikan keyakinan menjelang kunjungan ke Barcelona pada 8 Mei.

Atletico menjaringkan empat gol dalam 11 minit dengan Correa menjaringkan gol pada minit ke-42 dan 44 dan Carrasco kemudian menjaringkan gol empat minit selepas rehat dan gol kedua peribadi pada minit ke-54 sebelum Llorente melengkapkan jaringan.

Getafe hampir membuka jaringan dalam separuh masa pertama menentang Real Madrid apabila tandukan Jaime Mata terkena palang sementara Real juga mempunyai peluang tetapi tandukan Mariano Diaz sempat dikeluarkan sebelum melepasi garisan gol.

Real terus bergelut mencari rentak selepas rehat dan kemasukan Benzema dan Kroos juga tidak memberikan kelebihan kepada mereka. Pada perlawanan lain, Sevilla bangkit dari ketinggalan untuk terus bersaing dengan tiga pasukan di hadapannya.

Carlos Fernandez meletakkan Sociedad di hadapan seawal minit kelima tetapi gol dari Fernando dan Youssef En-Nesyri memastikan kemenangan ketiga berturut-turut Sevilla.

— Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )