Real rampas puncak La Liga

Real rampas puncak La Liga

MADRID,. Jaringan cantik Sergio Ramos menerusi sepakan percuma membantu Real Madrid merampas tangga teratas La Liga daripada Barcelona selepas menewaskan Real Mallorca 2-0, awal pagi tadi.

Ramos mengetepikan Gareth Bale bagi mengambil sepakan itu dan membuktikannya kualiti dimilikinya menerusi sepakan lencong ke sudut atas gawang sekali gus melengkapkan kemenangan buat Real.

Terdahulu, pemain berusia 19 tahun, Vinicius Junior meletakkan Real di depan menerusi jaringan di babak pertama.

Kemenangan di Stadium Alfredo di Stefano itu menyaksikan mereka berkongsi 68 mata dengan Barcelona tetapi menduduki tangga teratas berdasarkan rekod pertemuan.

“Ada tujuh lagi perlawanan. Hanya ada satu saingan liga pada tahun berlakunya pandemik COVID-19 dan kami mahu memenanginya buat penyokong kami,” kata Ramos selepas tamat perlawanan.

Bale jarang diturunkan sejak saingan kembali bersambung pada 11 Jun lalu tetapi jurulatih Real, Zinedine Zidane mengekalkan sistem penggilirannya dan memberikan penyerang Wales itu berada dalam kesebelasan utama buat kali pertama sejak 16 Februari lalu.

Bagaimanapun, sukar buat Bale untuk kembali berada dalam kesebelasan utama pilihan Zidane ketika Vinicius mempamerkan prestasi yang luar biasa.

Penyerang muda Brazil itu turut menyaksikan percubaannya terkena palang gol pada babak pertama.

Aksi Ramos turut mencuri tumpuan menerusi sepakan percumanya yang menyaksikan dia kini merekodkan lapan gol – terbanyak dalam satu musim sepanjang kerjayanya.

Ahad lalu, dia menjadi pemain pertahanan La Liga terbanyak yang menjaringkan gol selepas menyempurnakan penalti ketika menentang Real Sociedad. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )