Repositori Kelulut Indo-Malaya UMT, terbesar di dunia musnah akibat banjir

Repositori Kelulut Indo-Malaya UMT, terbesar di dunia musnah akibat banjir

KUALA BERANG: Banjir luar biasa yang melanda Hulu Terengganu bukan sahaja memusnahkan kediaman penduduk, malah turut menenggelamkan Repositori Kelulut Indo-Malaya Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang terletak di Taman Pertanian Negeri Sekayu.

Repositori itu ialah pusat pengumpulan dan penyimpanan 24 spesies kelulut Indo-Malaya yang terbesar di dunia, dikumpul Kumpulan Penyelidik Lebah dan Kelulut UMT (SIG) dari segenap pelusuk negeri sejak berpuluh tahun lalu.

Ketua SIG, Prof Dr Shamsul Bahri Abd Razak berkata repositori tersebut menempatkan pelbagai spesies kelulut yang menarik dan jarang ditemui seperti Tetragonula repeeni, Tetragonula minangkabau, Tetragonula melina, Lophotrigona canifrons dan Patriotrogona pandelburyi.

Justeru ia menjadi tumpuan pengkaji dan penyelidik dari dalam dan luar negara yang berminat untuk membuat penelitian serta pengumpulan data berkaitan spesies serangga berkenaan.
“Ia juga satu kerugian kepada sektor ekopelancongan negeri kerana repositori yang dibangunkan bersama Jabatan Pertanian Negeri Terengganu ini ialah satu-satunya tempat yang memiliki koleksi terbesar spesies kelulut Indo-Malaya di dunia,” katanya.

“Kami anggarkan kerugian fizikal dari segi peralatan dan sebagainya adalah sekitar RM150,000. Tetapi perkara yang lebih menyedihkan ialah bahan-bahan penyelidikan di sini yang mengambil masa begitu lama untuk dikumpul akhirnya musnah sekelip mata,” katanya di sini.

Menurut Shamsul Bahri, sebahagian besar daripada koleksi spesies kelulut yang ditempatkan di repositori tersebut diperoleh melalui sumbangan daripada peminat serta pengumpul spesies kelulut dari serata negeri.

Selain itu pasukan SIG sendiri turut melakukan siri kembara ke serata tempat bagi memburu spesies kelulut yang jarang ditemui untuk dijadikan rujukan bagi kerja-kerja penyelidikan dan sumber bank genetik khazanah warisan alam semula jadi negara.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)