RHB Investment kekalkan saranan beli ke atas Hartalega

RHB Investment kekalkan saranan beli ke atas Hartalega

KUALA LUMPUR,. Penyelidikan oleh RHB Investment Bank Bhd mengekalkan saranan beli ke atas Hartalega Holdings Bhd dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM19.0 sesaham berasaskan keuntungan yang diunjurkan meningkat pada tahun kewangan 2021.

Bank pelaburan itu menerusi nota penyelidikan hari ini berkata unjuran pertumbuhan keuntungan Hartalega kekal positif, memandangkan permintaan sarung tangan dijangka meneruskan aliran meningkat lazim pada lapan hingga 10 peratus didorong kesedaran terhadap kebersihan yang tinggi di peringkat global.

“Permintaan sarung tangan masih meningkat dan kami menjangkakan paras inventori juga kekal terhad.

“Kami meningkatkan unjuran keuntungan bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023 ke atas syarikat ini pada 32 hingga 50 peratus,” menurutnya.

RHB Investment berkata permintaan terhadap sarung tangan akan melonjak di Amerika Syarikat (AS) susulan COVID-19 masih menular.

Pada 2019, AS menggunakan kira-kira 92.7 bilion keping sarung tangan — bersamaan dengan 35 peratus daripada permintaan global.

Ia berkata berikutan kes COVID-19 masih tinggi di AS, permintaan sarung tangan akan sewajarnya kekal tinggi kerana ia menjadi keperluan penting untuk melindungi petugas kesihatan.

Sementara itu, inventori sarung tangan dianggarkan rendah iaitu 11 bilion keping, atau kurang daripada separuh bekalan yang disediakan untuk sebulan.

“Berdasarkan pemeriksaan saluran kami, pengedar mempunyai paras stok yang sangat rendah, yang hanya mencukupi untuk menampung penjualan yang dijangkakan bagi dua minggu akan datang. Ini jauh lebih rendah daripada purata paras stok untuk dua bulan sebelum pandemik COVID-19,” menurut RHB Investment.

Setakat 11.40 pagi, saham Harlaega melonjak 96 sen kepada RM16.96 dengan 7.16 juta bertukar tangan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This