Ringgit akan didagangkan pada paras semasa minggu hadapan

Ringgit akan didagangkan pada paras semasa minggu hadapan

KUALA LUMPUR,. Ringgit dijangka didagangkan pada paras semasa minggu hadapan dan mungkin mencapai tahap 4.30 berbanding dolar AS, sekiranya sentimen selera risiko kekal dan harga minyak terus menurun, kata seorang peniaga.

Kekurangan pemangkin positif tempatan termasuk angka kes COVID-19 yang tinggi akan menjejaskan keyakinan para pelabur dan mereka mungkin lebih berminat untuk mengambil sikap tunggu dan lihat.

Pada hari Jumaat, Kementerian Kesihatan melaporkan kes COVID-19 baharu menurun kepada 12,541 berbanding dengan 13,215 jangkitan sehari sebelumnya, menjadikan jumlah kes domestik terkumpul kepada 893,323.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Penyelidikan Malaysian Industrial Development Finance Bhd, Abdul Mui’zz Norhalim berkata ringgit dijangka dipengaruhi oleh kebimbangan pertumbuhan kerana pasaran dilihat akan memberi tumpuan kepada situasi COVID-19 di Malaysia.

“Selanjutnya, kami menjangkakan perbincangan yang sedang berlangsung mengenai pelonggaran kuantitatif oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat juga boleh mempengaruhi prestasi mata wang pasaran baru muncul termasuk ringgit.

“Buat masa ini, kami yakin kesan pergerakan harga minyak terhadap ringgit agak terhad disebabkan pasaran memfokuskan ke atas prospek pertumbuhan jangka pendek dan perubahan dalam pasaran kewangan global,” katanya kepada Bernama.

Beliau bagaimanapun menjelaskan pergerakan harga minyak yang melampaui tahap semasa dapat memberikan sokongan positif kepada ringgit, sekurang-kurangnya daripada terus merosot berbanding dolar US.

Secara mingguan, ringgit melemah berbanding dolar US kepada 4.2040/2070 daripada 4.1895 /1940 yang dicatatkan dalam minggu sebelum ini.

Sementara itu, ringgit adalah lebih rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Berbanding dolar Singapura, ringgit susut kepada 3.1053/1078 daripada 3.0953 / 0991 dan turun berbanding pound British kepada 5.8129/8170 daripada 5.7798/7860.

Ia juga menyusut berbanding euro kepada 4.9687/9723 daripada 4.9667/9720 dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.8180/8207 daripada 3.8076/8120 sebelumnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )