Ringgit dibuka lebih kukuh

Ringgit dibuka lebih kukuh

KUALA LUMPUR,. Ringgit mengukuh dengan mencatat peningkatan kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan Khamis.

Peningkatan berlaku walaupun dalam persekitaran penyusutan harga minyak mentah dan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan tertentu, termasuk Lembah Klang susulan peningkatan kes COVID-19.

Pada 9 pagi, ringgit meningkat kepada 4.1430/1480 berbanding dolar AS daripada paras 4.1450/1480 sewaktu dagangan ditutup pada Rabu.

Pelaksanaan PKPB di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Kelantan dan Pulau Pinang akan dilanjutkan mulai Khamis hingga 14 April ini manakala di Sarawak, arahan itu berkuat kuasa sehingga 12 April.

Malaysia menyaksikan peningkatan kes baharu COVID-19 pada Rabu dengan sejumlah 1,482 kes dan Selangor mencatat angka tertinggi iaitu 661 kes.

Penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan pula mendapati kes COVID-19 masih meningkat dengan ketara.

Sementara itu, biarpun ringgit lebih mengukuh pada pagi ini, Ketua Strategis Pasaran Global Axi, Stephen Innes sebaliknya berkata pembukaan semula sektor-sektor ekonomi kini terjejas berikutan pelanjutan tempoh PKPB itu.

“Sehubungan itu, perkembangan bagi jangka masa terdekat ini adalah kurang memberangsangkan,” katanya kepada Bernama.

Innes juga menjangkakan dagangan lebih lengang bagi tempoh 24-48 jam seterusnya menjelang pengumuman mengenai data gaji bukan perladangan AS bagi Mac 2021.

Data yang lebih kukuh boleh mempengaruhi peningkatan hasil AS, sekali gus mengukuhkan mata wang negara maju itu berbanding mata wang Asia.

Dalam pada itu, berbanding mata wang utama lain, ringgit kebanyakannya mengukuh kecuali berbanding pound Britain yang menyaksikannya susut kepada 5.7124/7197 daripada 5.7118/7172 sewaktu pasaran ditutup pada Rabu.

Ringgit meningkat berbanding yen kepada 3.7388/7444 daripada 3.7488/7518 sebelum ini, naik berbanding euro kepada 4.8593/8668 daripada 4.8617/8656 serta mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0808/0863 daripada 3.0811/0845.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)