Ringgit dibuka lebih tin ggi pada pagi ini

Ringgit dibuka lebih tin ggi pada pagi ini

KUALA LUMPUR,. Ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal dagangan pagi ini meskipun data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) yang dikeluarkan AS dan Kesatuan Eropah (EU) bercampur-campur.

Pada 9.05 pagi, ringgit meningkat kepada 4.6775/6795 berbanding dolar AS daripada 4.6830/6875 pada penutup Jumaat lalu.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata PMI Komposit EU lebih tinggi pada November 2023, meningkat 47.1 mata daripada 46.5 mata sebelumnya.

Di AS, PMI pula kekal pada 50.7 mata pada November 2023 disokong oleh peningkatan dalam sektor perkhidmatan, diikuti dengan sektor pembuatan.

“Walaupun indeks kelihatan semakin bertambah baik, kebanyakan tinjauan menunjukkan bahawa firma mengurangkan jumlah pekerja mereka untuk meminimumkan kos overhed,” katanya kepada Bernama.

Bagi Malaysia, Mohd Afzanizam berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) terkini menyederhana kepada 1.8 peratus tahun ke tahun menunjukkan kadar faedah sebenar telah meningkat daripada hanya 0.2 peratus pada Mei 2023 kepada 1.2 peratus pada Oktober 2023 .

Oleh itu, dasar monetari menjadi terhad secara beransur-ansur, membayangkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) selanjutnya adalah tidak wajar, katanya.

“Memandangkan ini, ringgit berbanding dolar AS diunjur berada dalam julat RM4.67 hingga RM4.69 hari ini,” katanya.

Pada awal dagangan, nilai ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding euro pada 5.1108/1152 daripada 5.1059/1108 Jumaat lalu, turun berbanding pound Britain kepada 5.8893/8943 daripada 5.8767/8823 dan rendah sedikit berbanding yen Jepun pada 3.1297/1326 daripada 3.1295/1327 sebelumnya.

Berbanding mata wang ASEAN yang lain, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Mata wang tempatan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 300.3/300.7 daripada 300.8/301.3 dan tinggi sedikit berbanding peso Filipina pada 8.44/8.45 daripada 8.45/8.46 akhir minggu lalu.

Namun begitu, ringgit menyusut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.4907/4940 daripada 3.4903/4940 dan rendah berbanding baht Thai pada 13.2357/2534 daripada 13.1949/2139 sebelumnya.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)